Saturday, July 6, 2024

Malaysia, China setuju kukuhkan penguatkuasaan undang-undang, keselamatan rentas sempadan – Saifuddin Nasution

MALAYSIA dan China bersetuju memperkukuhkan hubungan daripada aspek penguatkuasaan undang-undang dan kerjasama keselamatan bagi menangani isu jenayah rentas sempadan antara kedua-dua negara.

Ini dinyatakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menghadiri Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama kali ke-5 antara Malaysia dan China bagi Menangani Jenayah Rentas Sempadan yang dipengerusikan bersama dengan rakan sejawatnya Wang Xiaohong, Menteri Keselamatan Awam China di sini pada Khamis.

Beliau berkata, antara lain kedua-dua negara berusaha meningkatkan keselamatan serantau dan dunia, kerjasama antara pasukan penguatkuasa dan perkongsian maklumat serta teknologi baharu dalam bidang keselamatan.

Selain itu pelbagai perkara berkaitan turut menjadi topik perbincangan antara kedua-dua pemimpin dalam rangka lawatan rasmi Saifuddin Nasution sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Kuala Lumpur-Beijing.

“Banyak perkara dibincang antara kedua-dua negara berlandaskan hubungan akrab sempena sambutan ulang tahun ke-50, hubungan diplomatik Malaysia-China.

“Saya mengakhiri pertemuan dengan menandatangani Agreement on the Cooperation to Combat Transnational Crime,” jelasnya.

Sementara itu menurut kenyataan rasmi China, Wang berkata di bawah bimbingan strategik pemimpin kedua-dua negara, China akan bekerjasama dengan Malaysia untuk mengukuhkan pertukaran peringkat tinggi, memperdalam kerjasama praktikal mengenai penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan dan mempromosikan pembinaan komuniti China-Malaysia dengan masa depan yang dikongsi bersama.

“Diharapkan kedua-dua pihak akan terus mengukuhkan kerjasama dalam bidang antikeganasan, memerangi penipuan telekomunikasi dan perjudian haram rentas sempadan, kerja antidadah, keselamatan rangkaian dan pembinaan kapasiti polis,” kata Wang.

Baca ini > Pelaburan China di Sarawak cecah RM19.4 bilion, cipta lebih 10,000 peluang pekerjaan – Abang Johari