Saturday, July 6, 2024

Megah Dengan Unsur Kemelayuan, Resort Warisan Pahlawan Pak Tun Wajib Dilawati!

Kuala Berang: Kira-kira 20 tahun lalu, ahli keluarga dan rakan-rakan menganggap beliau gila kerana sibuk mencari barang-barang lama bagi membina rumah tradisional Melayu Terengganu yang asli.

Akan tetapi, demi cintanya terhadap seni bina warisan Terengganu itu, Tun Ahmad Tun Abdullah, 65, memekakkan telinga dan meneruskan usaha merealisasikan impiannya.

Memanfaatkan kawasan seluas kira-kira sehektar, Tun Ahmad yang lebih mesra dipanggil Pak Tun, membina satu demi satu rumah terbabit hingga berjaya mendirikan keseluruhan lapan rumah tradisional Terengganu yang masing-masing menampilkan ciri berbeza.

Dinamakan Resort Warisan Pahlawan, “perkampungan” ini terletak di Kampung Pauh, Jenagor, Hulu Terengganu, iaitu kira-kira 46 kilometer dari Kuala Terengganu atau satu jam memandu, dan beroperasi sejak 2010.

“Setiap rumah dinamakan bersempena dengan nama pahlawan Melayu, pejuang kemerdekaan serta ulama terkenal Terengganu, antaranya Mat Kilau, Tok Gajah dan Tok Pulau Manis (ulama Terengganu),” katanya kepada Bernama.

 

Rumah Mat Kilau di Resort Warisan Pahlawan di Kampung Pauh, Jenagor, Hulu Terengganu dibangunkan dengan ciri Rumah Bujang Berselasar atau Berserambi. FOTO BERNAMA
Rumah Mat Kilau di Resort Warisan Pahlawan di Kampung Pauh, Jenagor, Hulu Terengganu dibangunkan dengan ciri Rumah Bujang Berselasar atau Berserambi. FOTO BERNAMA

Bercerita lanjut, Tun Ahmad berkata sepertimana zaman dahulu, rumah-rumah berkenaan dibina tanpa paku, sebaliknya menggunakan kaedah tanggam dan pasak, selain hanya menggunakan kayu cengal yang dikenali kerana keutuhannya.

“Saya mulakan usaha ini pada 2004 dengan mencari rumah-rumah tradisional yang terbiar di seluruh Terengganu bagi mendapatkan kayu cengal yang menjadi tonggak kebanyakan rumah lama. Saya beli rumah terbabit dan bongkar untuk diambil kayu yang kemudian dibawa ke tapak binaan di Kampung Pauh ini.

“Istimewanya kayu cengal ini adalah tahan lama, tidak dimakan anai-anai, kuat tapi pada masa sama lembut, memudahkan kerja-kerja mengukir,” jelasnya.

Menurutnya, bagi memastikan keaslian rumah yang akan dibina, beliau turut mendapatkan atap bata singgora.

“Saya kemudian membina rumah pertama, dan tidak disangka rumah itu berjaya menarik minat orang ramai. Saya namakan rumah itu sebagai Rumah Tok Pauh (ulama Terengganu),” katanya.

Susulan itu, Tun Ahmad meneruskan usaha mencari dan membeli rumah lama untuk pembinaan seterusnya.

Benar kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, apabila dalam pencariannya itu Tun Ahmad terjumpa sebuah “kerangka” rumah lama, yang menurut orang kampung, pernah didiami oleh Mat Kilau, pahlawan Melayu dari Pahang yang gah dek perjuangan menentang penjajah British.

Terletak di Pasir Nering di sini, menurut cerita orang lama, Mat Kilau tinggal di rumah itu untuk satu tempoh yang lama setelah tiba dari Ulu Tembeling, Pahang.

“Saya beli ‘sisa’ rumah itu daripada cucu pemilik rumah itu. Saya beritahu dia rumah ini ada sejarahnya. Kalau dibiar lama-lama, kelak runtuh begitu sahaja, maka hilanglah kisahnya,” katanya yang kemudian menamakan rumah tradisional yang dibina daripada tinggalan itu sebagai Rumah Mat Kilau.

 

Rumah Tok Gajah di Resort Warisan Pahlawan di Kampung Pauh, Jenagor, Hulu Terengganu bercirikan Rumah Bujang Berkembar. FOTO BERNAMA
Rumah Tok Gajah di Resort Warisan Pahlawan di Kampung Pauh, Jenagor, Hulu Terengganu bercirikan Rumah Bujang Berkembar. FOTO BERNAMA

 

Mengulas lanjut tentang rumah-rumah di resort itu, Tun Ahmad berkata setiap satu dibina mengikut jenis rumah tradisional Melayu Terengganu seperti Rumah Bujang Berselasar, Rumah Bujang Berkembar dan Rumah Tele.

“Untuk Rumah Mat Kilau, kita bangunkan dengan ciri Rumah Bujang Berselasar atau Berserambi, sementara Rumah Tok Gajah bercirikan Rumah Bujang Berkembar dan Rumah Tok Pulau Manis pula mengetengahkan ciri Ruma Tele,” jelasnya.

Menurut bekas Pengarah Muzium Negeri Terengganu Datuk Mohd Yusof Abdullah, Rumah Bujang Berselasar atau Berserambi dan Rumah Bujang Berkembar adalah dari jenis Rumah Bujang Berpeleh, iaitu berbumbung panjang dengan papan pemeleh di hujung bumbung rumah yang kelihatan seperti huruf “V” terbalik.

Rumah Bujang Berkembar merujuk dua unit Rumah Bujang Berpeleh dicantumkan dan menjadikan peleh bumbung berbentuk “W” terbalik, sementara Rumah Bujang Berserambi adalah Rumah Bujang Berpeleh yang ditambah serambi atau beranda di kiri atau kanan rumah.

Rumah Tele pula mempunyai ruang tengah rumah yang tidak ada pada rumah tradisional lain.

Rumah Tele juga merujuk bangunan atau rumah di bahagian belakang yang bersambung dengan istana dan dikhaskan untuk kaum Hawa. Menurut laman sesawang Muzium Negeri Terengganu, Rumah Tele ini dibina pada awal 1888 oleh Almarhum Sultan Zainal Abidin III di kawasan Istana Maziah.)

Bagaimanapun kata Tun Ahmad, hanya Rumah Mat Kilau, Tok Gajah dan Tok Pauh yang mengekalkan sepenuhnya konsep rumah tradisional zaman dahulu, termasuk bilik air di luar rumah serta tidak dilengkapi kemudahan moden seperti pendingin hawa.

“Rumah-rumah lain hanya luaran sahaja dibina dengan reka bentuk rumah lama. Di dalamnya kita letak kelengkapan moden agar memenuhi kehendak pelanggan,” ujarnya, menambah, pelanggan bagaimanapun lebih gemar memilih untuk menginap di rumah tradisional sepenuhnya.

Menurut Tun Ahmad, kesemua rumah terbabit dibina dengan kepakaran tukang tempatan yang dibantu pekerja asing, merangkumi binaan asas hinggalah kepada ukiran kayu yang menghiasi di dalam dan luar rumah.

“Ukiran ini juga mengikut ukiran zaman dahulu dengan motif flora selain ayat-ayat suci al-Quran. Malah, perabot juga kita hasilkan sendiri bagi mengekalkan keaslian rumah tradisional ini,” ceritanya.

Bagaimanapun kata beliau, semakin sukar untuk mendapatkan tukang yang mempunyai kepakaran membina rumah tanpa menggunakan paku, sekali gus memberikan cabaran kepadanya dalam menyelenggara rumah-rumah di resort tersebut.

“Tukang-tukang kita semuanya orang lama. Ada yang sudah meninggal dunia dan ada juga yang sakit. Yang muda tidak ramai. Kalau buat kursus pun tiada yang berminat untuk sertai.

“Tak tahulah apa akan berlaku dalam tempoh 10 ke 20 tahun lagi. Saya pun dah tua,” katanya yang jelas risau seni warisan Terengganu itu akan pupus ditelan zaman.

Malah katanya, kos menyelenggara dan mengurus rumah-rumah terbabit juga agak tinggi, dan beliau membelanjakan sekitar RM30,000 sebulan untuk tujuan itu.

“Untuk memastikan perniagaan ini kekal berdaya saing, saya bina dewan serba guna dan kolam mandi bagi menarik kunjungan orang ramai,” katanya.

Meskipun berdepan cabaran dari segi peningkatan kos, Tun Ahmad tidak menyesal melakukan “kerja gila” sejak 20 tahun lalu.

“Kalau dulu ramai yang kata saya gila sebab cari barang-barang lama, sekarang bila dah nampak hasil, ramai yang mula suka,” katanya mengakhiri temu bual.