Saturday, July 6, 2024

Pengeluaran Akaun Fleksibel KWSP boleh dilakukan pada bila-bila masa

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan pengeluaran Akaun Fleksibel boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan had pengeluaran minimum RM50, dan terhad kepada baki dalam akaun ahli.

Menurut KWSP dalam kenyataan,  bayaran akan dibuat secara pengkreditan terus ke dalam akaun bank ahli manakala  mereka yang ingin mengeluarkan wang lebih RM250 perlu melalui prose e-KYC.

Secara amnya, ahli tidak perlu hadir di Pejabat KWSP bagi tujuan di atas kerana pengesahan identiti juga boleh dibuat secara dalam talian tertakluk kepada sejarah rekod ahli dan amaun pengeluaran tidak melebihi RM30,000.

Proses e-KYC atau ‘electronic Know-Your-Customer’ adalah satu proses pengesahan identiti secara elektronik melalui teknologi pengecaman wajah di aplikasi KWSP i-Akaun.

Bagi ahli yang tiada rekod pengeluaran atau maklumat akaun bank adalah berbeza dengan rekod pengeluaran terdahulu, ahli perlu mengesahkan identiti melalui: Pengesahan cap ibu jari di Self-Service Terminal (SST) KWSP bagi amaun permohonan pengeluaran lebih RM10,000; ATAU pengesahan dalam talian tertakluk kepada amaun permohonan pengeluaran kurang daripada RM10,000.

Sebelum ini, KWSP mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.

Menerusi Akaun Persaraan, sebanyak 75 peratus daripada jumlah caruman bulanan akan ditolak sebagai simpanan pendapatan semasa persaraan, Akaun Sejahtera (15 peratus) bagi menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan serta Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek.

Simpanan dalam Akaun Fleksibel iaitu 10 peratus daripada caruman setiap bulan itu, boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Namun, bagi pencarum yang ingin mengeluarkan simpanan dalam Akaun Sejahtera (akaun 2) dan diletakkan dalam Akaun Fleksibel (akaun 3), mereka boleh berbuat demikian dengan menggunakan aplikasi i-Akaun.

Bagaimanapun, tidak semua wang dalam simpanan Akaun Sejahtera itu boleh dipindahkan kerana ia tertakluk kepada perkiraan tertentu.

Pencarum dibenarkan membuat pemilihan bagi pindahan akaun hanya sekali sahaja dalam tempoh bermula hari ini hingga 31 Ogos ini.

Baca ini > Dividen KWSP 5.5 peratus untuk konvensional, syariah 5.4 peratus