Wednesday, June 26, 2024

Siti Nordiana pertama kali berduet dengan Tomok menerusi ‘Memori Mungkin Berulang’

PENYANYI dan pelakon Siti Nordiana tampil dengan lagu duet bersama vokalis New Boyz Tomok menerusi lagu Memori Mungkin Berulang.

Ini adalah kerjasama pertama Siti Nordiana atau Nana dengan Tomok selepas 25 tahun berkecimpung dalam dunia seni nyanyian.

Uniknya lagu ini ialah hasil ciptaan sepenuhnya Nana dan Tomok termasuk penulisan lirik.

Tajuk lagu ini dipilih amat sinonim dengan lagu hits mereka iaitu Sejarah Mungkin Berulang dan Memori Berkasih.

Idea asal lagu ini tercetus selepas mereka berbual secara tidak sengaja dalam satu persembahan pentas.

Ini kerana sepanjang mereka berada dalam bidang nyanyian, Nana dan Tomok tidak pernah menghasilkan lagu duet bersama-sama.

Lagu Memori Mungkin Berulang masih mengekalkan ritma dan irama 90-an untuk mengembalikan zaman kegemilangan dunia muzik ketika itu.

Tempoh untuk merakam lagu baru ini juga mengambil masa kira-kira setahun kerana kedua-dua penyanyi ini sibuk dengan pelbagai tugasan termasuklah fokus bertanding All Star Gegar Vaganza tahun lalu.

Untuk muzik video pula, suasana 90-an juga dikekalkan bertujuan untuk mengembalikan memori silam pendengar yang tidak henti-henti menyokong karier mereka sejak usia remaja hingga saat ini.

Antara yang diketengahkan termasuklah gaya pemakaian, aksesori serta lokasi penggambaran tetap kekal dengan era 90-an.

Muzik video ini diarahkan oleh pengarah drama tersohor iaitu Hadith Omar yang pernah mengarahkan beberapa drama popular lakonan Siti Nordiana seperti Dia Semanis Honey.

Tempoh penggambaran hanya mengambil masa selama dua hari iaitu bertempat di sekitar Bandaraya Melaka.

Memori Mungkin Berulang boleh didengar di semua platform digital muzik mulai 7 Jun dan video muzik (MV) boleh di strim di Youtube rasmi Siti Nordiana bermula jam 9 malam hari yang sama.

Baca ini > Konsert Memori Berkasih Siti Nordiana 25 Tahun, jadi jawapan percintaan dua dekad