Saturday, July 6, 2024

Taman Tema Skyworlds Genting Highlands terbakar

SATU kebakaran dilaporkan berlaku di Taman Tema Genting Skyworlds (outdoor), Genting Highlands sekitar jam 4.55 petang ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Genting Highlands, kejadian dipercayai melibatkan sebuah bangunan empat tingkat di taman peranginan.

“Jentera JBPM dari Genting Highland dan dibantu pasukan penyelamat dari Bentong dan Janda Baik sudah digerakkan ke lokasi insiden,” kata jurucakap ketika dihubungi Astro AWANI.

Sementara itu,Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya tiba di lokasi kejadian pada jam 5.18 petang.

Menurut kenyataan itu, empat anggota dari JBPM Genting Highland dikerah ke lokasi kejadian dan dibantu oleh 16 anggota masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong dan BBP Janda Baik.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Pahang berkata, kebakaran melibatkan bangunan di tingkat dua Taman Tema itu sebelum merebak ke tingkat empat.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Terdahulu, kejadian tersebut dikongsi beberapa pengguna laman media sosial, yang dipercayai pengunjung di kawasan peranginan tersebut.

Difahamkan, pengunjung dan kakitangan dari bangunan berdekatan telah juga diarahkan mengosongkan premis berkenaan.

Berdasarkan gambar dan klip video yang telah tular, api yang marak telah menyambar beberapa bahagian bangunan di taman tema itu.

Seorang netizen dalam ciapannya di X mendakwa kebakaran berlaku di Sky Avenue, yang merupakan pusat beli-belah yang menempatkan restoran, bar, pawagam dan kedai runcit.

Baca ini > 3 cedera papan tanda iklan digital di Lebuh Raya Persekutuan terbakar