Saturday, July 6, 2024

Trisha Ooi suka bawa watak aksi, lakonan sarat dengan emosi

Siapa sangka bermula daripada kerja-kerja di belakang tabir hingga membawakan watak aksi lasak membuka ruang buat Trisha Ooi melakarkan nama dalam dunia seni.

Trisha Ooi atau nama sebenarnya Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 25, berasa bertuah kerana terus mendapat kepercayaan dan diberi peluang untuk tampil dalam naskhah yang disiarkan di televisyen dan layar perak.

Dengan yang terbaharu menerusi drama berjudul Menanti Senja sedang ditayangkan di slot Samarinda TV3.

Trisha membawakan watak Sarah Kamal disamping pelakon hebat lain antaranya Faizal Hussein, Khatijah Tan, Johan As’ari, Kodi Rasheed dan ramai lagi.

“Dia adalah anak perempuan kesayangan ayahnya (Faizal Hussein). Namun konflik timbul bila Sarah nak berkahwin kerana bagi ayahnya, sayang seorang bapa tidak boleh diganti dengan seorang suami.

“Watak ini sangat berat dari segi penyampaian emosi sebab saya kena berikan wajah di mana Sarah sebelum kahwin, kemudian selepas kahwin dan bila berlakunya konflik suami masuk penjara.

“Kepercayaan dia terhadap ayahnya pula berbelah bahagi. Sekejap dia okey dan sekejap tidak. Ia satu watak yang paling susah nak bawakan.

“Tapi saya gembira dan bersyukur diberi peluang dan saya harap penonton semua suka dan menerima watak yang saya bawakan ini,” katanya.

Biarpun tampil dengan watak utama, Trisha akur barangkali tidak semua peminat mengenalinya berbanding pelakon lain seiring dengannya dalam industri lakonan.

“Saya sebenarnya amat bersyukur ditawarkan berlakon drama ini. Secara peribadi, selepas beberapa drama dan filem, mungkin ada yang dah kenal ataupun ada yang masih tak kenal saya.

“Pada saya, alhamdulillah… yang paling penting ialah apabila orang menerima saya dalam industri ini. Harapan saya senior-senior dan peminat terima baik kehadiran saya dalam industri.

“Soal dikenali atau tidak, bagi saya ia tentunya akan ambil masa. Apapun saya gembira kalau orang suka dengan kehadiran saya dan terima baik,” katanya.

Pelakon yang pernah tampil menerusi drama Tentang Hati Dia berkata, dia teruja dan terharu apabila berpeluang berada bersama penggiat industri, produksi, stesen televisyen dan pelakon senior hebat yang sangat dikaguminya sebelum ini.

“Saya juga gembira dapat bertemu dengan penyokong dan peminat-peminat yang terima baik kedatangan saya dalam industri dan menghargai industri seni. Itu yang paling penting bagi saya.

“Ia buat saya teruja untuk lebih banyak sampaikan naskhah-naskhah yang bagus kepada orang Malaysia kerana siapa lagi nak sokong kalau bukan orang kita sendiri,” katanya.

Tambah Trisha, rezeki membawanya untuk melakonkan watak-watak berbeza dalam lakonan.

“Forte saya adalah aksi. Tapi bila diberi peluang untuk bawa watak yang berat dan penuh dengan emosi, saya suka dan teruja bawa watak itu. Saya juga kerap dapat karakter yang berbeza-beza.

“Maksudnya bukan sedih sahaja. Baru-baru ini pun saya dapat watak antagonis. Ia bukan sahaja berat tapi karakter jahat. Kemudian dapat karakter yang kelakar tapi juga ada beratnya.

“Ia kelakar yang bukan di buat-buat. Bagi saya semua karakter-karakter ini berat, lain daripada aksi. Saya sangat teruja untuk meneroka lagi dunia lakonan.

“Bagi saya ia satu minat. Harapnya setiap kali saya bawa watak dan sampaikan mesej menerusi lakonan, orang akan terima,” katanya.

Dia turut berharap filem Janna Endoro membawa tuah tahun selepas tampil menerusi filem Pagari Bulan arahan Raja Mukhriz yang mendapat sambutan sederhana peminat.

“Bagi saya terbabit dalam Pagari Bulan satu pencapaian besar untuk diri saya dan saya banyak belajar dengan Raja Mukhriz. Saya juga bekerjasama dengan barisan pelakon yang sangat hebat.

“Alhamdulillah pertengahan Februari ini saya akan tampil dengan filem loghat Kelantan berjudul Janna Endoro pula. Ia seakan menampakkan sisi sebenar saya kerana ia sebuah filem aksi.

“Saya kena bertarung dalam banyak babak. Pelakon lain yang terbabit antaranya Pekin Ibrahim dan ramai lagi. Saya harapkan peminat sokong filem ini.

“Saya dah buat yang terbaik dan keseluruhannya saya berserah kepada Allah. Saya agak takut penerimaan peminat tapi percaya akan ada rezeki,” katanya.

Kredit: Ridzuan Abdul Rahman | Harian Metro