Friday, July 5, 2024

Usaha serta komitmen Profesor Dr Ab Aziz bantu masyarakat diiktiraf Asia Book of Records

PENGASAS dan Pengarah Perubatan Neo Medicare, Profesor Dr Ab Aziz Al Safi telah menempa sejarah baharu apabila dianugerahkan sijil pengiktirafan Asia Book of Records atas sumbangannya membantu masyarakat terutama pesakit buah pinggang.

Pengiktirafan oleh Asia Book of Records ini menegaskan dedikasi beliau dalam memperbaiki kualiti hidup pesakit buah pinggang dan komitmennya dalam bidang perubatan integratif.

Penghormatan ini bukan sahaja mengharumkan nama beliau tetapi juga mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa sebagai negara yang berjaya dalam rawatan penyakit kronik dengan pendekatan holistik dan bersepadu dalam membantu pesakit mencapai kualiti hidup yang lebih tinggi.

Pengasas dan Pengarah Perubatan Neo Medicare, Profesor Dr Ab Aziz Al Safi

Dengan menggunakan teknik diagnostik dan rawatan alternatif berasaskan bukti saintifik, setiap masalah kesihatan dikenal pasti dan kemudian menggunakan penyelesaian penjagaan perubatan bersepadu untuk menangani masalah yang dihadapi.

Profesor Dr Ab Aziz Al Safi yang kini merupakan Profesor Perubatan di Kolej Universiti Lincoln di Kota Bharu, Kelantan serta bekas Profesor Sains Perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM), berkata Malaysia kini berada di tangga kedua tertinggi didunia yang memiliki pesakit buah pinggang dan bergantung dialisis setiap minggu.

“Pesakit buah pinggang keseluruhannya mempunyai 5 peringkat atau stage, jika ianya masih berada di stage 1 hingga 3 ianya boleh dirawati dalam tempoh yang singkat tetapi jika mencapai sehingga stage 5 dan ia dikategorikan sebagai kronik tetapi dengan kaedah ini ia boleh dirawat dan dikawal.

Profesor Dr Ab Aziz Al Safi dalam Majlis Penganugerahan oleh Asia Bokk of Records yang berlangsung di Hotel Eastin, Petaling Jaya semalam.

“Pesakit buah pinggang semakin bertambah setiap tahun dan setelah didiagnos penyakit tersebut, hidup mereka hanya bergantung kepada mesin pencuci darah atau melakukan pemindahan buah pinggang.

“Kos untuk rawatan tersebut adalah sangat mahal” katanya.

Jelasnya, selain kaedah menjaga diet pemakanan yang ketat selama setahun, proses bekam juga turut digunakan bagi membuang darah kotor dalam badan.

“Rawatan bekam klinikal yang kami tawarkan amat unik kerana ia berpaksikan prosedur operasi standard (SOP) ketat, bersih, selamat dan memberikan kesan perubatan yang positif.

Sijil pengiktirafan Asia Book of Record atas sumbangan Profesor Dr Ab Aziz Al Safi dalam membantu masyarakat terutama pesakit buah pinggang.

“Lebih menarik, segala perundingan dan rawatan dipantau oleh saya sendiri serta dikendalikan oleh kakitangan terlatih dan berpengalaman” ujarnya dalam majlis penganugerahan yang berlangsung di Hotel Eastin, Petaling Jaya semalam.

Pasukan Kumpulan Neo Medicare pakar dalam menggunakan penjagaan perubatan integratif untuk menyelesaikan penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang kronik (CKD), diabetes mellitus dan sindrom metabolik serta penyakit kronik yang lain.

Kumpulan perubatan turut dilengkapi dengan pelbagai mesin dan peralatan canggih dan termaju seperti hipertermia, ECP dan CTU dan i-tera bagi mempercepatkan proses pemulihan.

Bagi orang ramai yang ingin mengetahui rawatan penyakit buah pinggang ini, boleh melayari www.Neomedicaregroup.com. – REFLEKS!