Saturday, July 6, 2024

40 cedera dalam gelora udara Air Europa

Seramai 40 penumpang cedera apabila sebuah pesawat Air Europa dari Madrid ke Montevideo melakukan pendaratan cemas di Natal, Brazil, selepas berdepan gelora udara yang teruk.

Pesawat Boeing 787-9 Dreamliner yang membawa 325 penumpang dialihkan ke Lapangan Terbang Natal yang mana puluhan ambulans telah bersedia menerima rawatan.

Sekretariat Kesihatan Rio Grande do Norte Brazil melaporkan, 11 orang masih dirawat di Hospital Monsenhor Walfredo Gurgel.

Mereka yang cedera termasuk warga Sepanyol, Argentina, Uruguay, Israel, Bolivia, dan Jerman.

Syarikat penerbangan itu turut menghantar pesawat dari Madrid untuk mengambil penumpang, sementara pesawat yang terbabit sedang diperiksa.

Pada Mei lalu, seorang lelaki warga Britain berusia 73 tahun meninggal dunia dan beberapa penumpang lain cedera apabila pesawat Boeing 777 Singapore Airlines mengalami gelora udara dan terpaksa mendarat cemas di Bangkok.

Seminggu kemudian, 12 penumpang cedera dalam penerbangan Boeing 787-9 Qatar Airways dari Doha ke Ireland selepas berdepan situasi sama.

Pakar keselamatan udara mengingatkan pentingnya mematuhi arahan memakai tali pinggang keledar bagi mengurangkan risiko kecederaan semasa gelora udara yang tidak dijangka.

Menurut saintis, kekerapan kejadian gelora udara dalam keadaan cuaca baik berpunca akibat perubahan iklim.

Kajian pada 2023 menunjukkan kejadian gelora udara ketika cuaca baik meningkat sebanyak 17 peratus dari 1979 hingga 2020, dengan kes paling teruk meningkat lebih daripada 50 peratus.