Friday, July 5, 2024

Aisyah Hijanah Beri Respon Isu Penyelewengan Dan Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: Pempengaruh, Aisyah Hijanah menafikan semua dakwaan penyelewengan dan pecah amanah membabitkan dirinya seperti yang tular di media sosial, sejak kebelakangan ini.

Peguam, Abd Rahim Ali yang mewakili pempengaruh itu berkata, individu bertanggung jawab menyebarkan tuduhan itu perlu membuktikan dakwaan mereka di mahkamah kelak.

Menurutnya, Aisyah yang juga isteri kepada pempengaruh, Alif Teega akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan membabitkan pihak berkuasa, jika diperlukan.

“Anak guam kami tidak sesekali pada setiap masa yang material menjalankan apa-apa aktiviti menyalahi undang-undang negara.

“Kami menegaskan bahawa segala aset yang diperoleh oleh anak guam kami adalah atas daya usaha beliau sendiri tanpa menyalahgunakan mana-mana dana mahupun kutipan derma.

“Anak guam kami juga seperti sedia maklum menjalankan pelbagai perniagaan yang menjana keuntungan. Mereka juga berhak menikmati hasil keuntungan perniagaan untuk tujuan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Rahim berkata, pihaknya dengan tegas menafikan sebarang penglibatan anak guamnya membabitkan skim 20 peratus yang diterima oleh pempengaruh bagi keseluruhan derma oleh platform kutipan derma dalam talian, JomDonate.

Menurutnya, skim itu hanya diperkenal pada tahun 2022 iaitu selepas Aisyah berhenti menggunakan platform terbabit.

“Kami menegaskan sebarang penggunaan imej, gambar dan/atau testimoni anak guam kami dibuat setelah mereka tidak lagi menggunakan platform itu.

“Oleh itu, sebarang penggunaan imej, gambar dan/atau testimoni anak guam kami adalah tanpa sebarang kebenaran dan persetujuan mereka,” katanya.

Menurutnya, mereka turut menafikan semua dakwaan penyelewengan atau pecah amanah membabitkan aktiviti kutipan derma melibatkan sebuah madrasah, malah pihak madrasah berkenaan sudah memohon maaf berhubung isu itu.

Katanya, kempen derma membabitkan madrasah berkenaan sudah tamat pada 14 Jun lalu dan segala hasil kutipan sudah diserahkan kepada pihak terlibat.

Pada masa sama, pihaknya turut menafikan sebarang kaitan berhubung sebuah akaun Facebook bernama ‘Aisyah Hijanah Official’ dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas individu yang menyalahgunakan nama dan identiti anak guamnya.