Friday, May 17, 2024

Deepavali Ahad ini, kembalikan amalan kunjung mengunjungi

SEJAK dari dahulu rakyat Malaysia adalah masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama.

Rakan-rakan yang menganut agama Hindu mempunyai perayaan atau hari raya yang disambut dengan meriah iaitu Deepavali.

Tahun ini, Deepavali jatuh pada hari Ahad, 23 Oktober 2022 dan pastinya dalam keadaan endamik Covid-19 hari ini, ramai yang membuat persiapan untuk menyambut Deepavali.

Bagi kita yang bukan penganut agama Hindu, tidak menjadi satu kesalahan jika berkunjung ke rumah rakan-rakan berbangsa India pada hari raya mereka.

Ini kerana Deepavali bukanlah acara keagamaan seperti Thaipusam. Kikis dan buang jauh-jauh kekeliruan itu.

Kemeriahan menyambut Deepavali pada tahun 1970an, 1980an dan 1990an sentiasa tersemat dalam hari kalangan kita yang berusia 40an dan 50an hari ini.

Pada era-era tersebut, tidak dimainkan isu perkauman melampau dan hampir tidak timbul isu perkauman ini.

Api perkauman tidak disemarakkan dan kita hidup dalam aman, damai, hormat menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain.

Zaman sekolah rendah hinggalah ke sekolah menengah, rakan-rakan yang meraikan Deepavali akan sibuk memaklumkan mak masing-masing, “Amma, kawan-kawan akan datang ke rumah on Deepavali. Please cook (tolong masak) kari ayam.”

Cikgu yang mempunyai anak sebaya, akan tahu bahawa anak-anak muridnya yang akan berkunjung ke rumah pada hari Deepavali terdiri juga dalam kalangan murid-murid Melayu.

Justeru Cikgu atau mak-mak akan sibuk mencari ayam yang disembelih mengikut patuh syariah. Atau dalam kata muda, ayam yang disembelih itu halal.

Itulah yang dijamu oleh mak-mak rakan-rakan dan cikgu-cikgu kepada anak-anak murid pada hari Deepavali tanpa menaruh rasa was-was untuk menjamah sajian di atas meja yang disediakan.

Moral of the story, masyarakat Malaysia memahami dan hidup dalam toleransi. Tidak takut kalau kari ayam yang dihidangkan itu, ayam yang tidak halal.

Amalan kunjung mengunjungi ke rumah rakan-rakan pada hari-hari perayaan merupakan tradisi yang tidak sepatutnya dimatikan begitu sahaja.

Semakin kita dewasa, semakin usia meningkat, kita harus bijak untuk hidup dengan aman dan damai.

Bukannya bercakaran dan berselisih faham sesame rakan bukan sebangsa atau seagama.

Sebagai manusia, hiduplah dengan berlapang dada, kurangkan pengaruh negatif yang mungkin dipupuk dalam diri secara tidak disedari.

Pada hari Deepavali inilah kita akan berjumpa dengan rakan-rakan lain zaman persekolahan dahulu.

Pada hari inilah juga, kita akan berjumpa dengan cikgu yang pernah mendidik kita dengan akhlak yang baik dan pekerti yang mulia walaupun beliau beragama Hindu.

Buat Puan Vasagam, “HAPPY DIWALI, TEACHER.” – REFLEKS