Saturday, July 6, 2024

Azman Adnan dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) mengumumkan pelantikan Azman Adnan sebagai Ketua Pengarah Pendidikan yang baharu berkuat kuasa semalam.

Azman sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) menggantikan Datuk Pkharuddin Ghazali yang bersara wajib pada 7 November tahun lalu.

KPM dalam kenyataan memaklumkan, Azman berpengalaman selama lebih 34 tahun dalam bidang pendidikan.

Menurut kementerian itu, beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera Pengajian Melayu daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum menyambung Ijazah Sarjana Kepimpinan dan Kepengetuaan daripada Universiti Malaya (UM).

“Beliau memulakan kerjaya sebagai guru sebelum dilantik sebagai Guru Kanan Mata Pelajaran; Penyelia Petang; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid; Penolong Kanan Pentadbiran; Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri dan Pengetua Sekolah.

“Azman berpengalaman memimpin institusi pendidikan di pelbagai peringkat termasuk sebagai Pegawai Pendidikan Daerah Segamat; Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan Pengarah Pendidikan Negeri Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada peringkat Pengurusan Tertinggi KPM, Azman berpengalaman menjawat jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional; Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian.

Beliau kemudiannya dilantik ke jawatan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah).

“Semoga pengalaman luas Azman di pelbagai peringkat dapat memacu pendidikan negara ke arah kecemerlangan,” kata kementerian itu.

Baca ini > Anugerah Pendidikan ATM bukti MINDEF prihatin warga pertahanan