Tuesday, July 9, 2024

Bank Rakyat lancar program biasiswa bagi lepasan SPM

BANK RAKYAT dengan kerjasama Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) melancarkan Program Biasiswa: Inspirasi Bank Rakyat Memacu Bakat Tertinggi (BRIGHT) kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menduduki peperiksaan pada tahun 2023 yang mana permohonan secara dalam talian dibuka bermula 27 Mei sehingga 1 Julai 2024.

Calon akan melalui Program Asasi selama setahun sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda. Antara bidang yang ditawarkan setelah calon menjalani Program Asasi adalah Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Muda Pengurusan, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam), Sarjana Muda Psikologi, Sarjana Muda Pendidikan, Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-Kanak) dan Sarjana Muda Ekonomi.

Bank Rakyat amat komited dalam memastikan agenda meningkatkan kualiti pendidikan negara terus menjadi realiti yang dapat dinikmati oleh setiap rakyat Malaysia. Semoga dengan inisiatif sebegini akan dapat membantu membina masyarakat MADANI yang kita semua impikan.

Antara syarat kelayakan bagi permohonan program ini adalah calon mestilah lulus pada peringkat SPM dengan minimum lima kredit, lulus di O-Level dengan sekurang-kurangnya gred C dalam lima mata pelajaran, lulus Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan minimum gred B dalam mana-mana tiga mata pelajaran dan kelayakan lain yang setaraf dengannya yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia.

Selain itu, penajaan biasiswa ini terhad kepada pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah (B40) dan keluarga berpendapatan sederhana (M40).

Pelajar yang berminat untuk memohon, boleh memohon secara dalam talian menerusi alamat e-mel: [email protected] dengan menyertakan dokumen seperti salinan kad pengenalan (depan dan belakang), salinan slip keputusan SPM dan lima keping gambar berukuran pasport sebelum tarikh tutup permohonan.

Tertakluk pada terma dan syarat, permohonan yang melepasi saringan Bank Rakyat sahaja akan disenarai pendek. Hanya pemohon yang disenarai pendek akan dihubungi oleh Bank Rakyat dan pemohon yang tidak menerima sebarang maklum balas dianggap tidak berjaya.

Untuk maklumat lanjut berhubung kriteria kelayakan, sila layari laman sesawang di www.bankrakyat.com.my dan media sosial Bank Rakyat atau hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di talian 1300 80 5454. – REFLEKS!

Baca ini > Semak keputusan SPM 2023 melalui SMS, laman sesawang KPM mulai Isnin