Saturday, July 6, 2024

Bank Rakyat peruntuk RM50 juta menerusi program pembiayaan bagi komuniti usahawan India

BANK RAKYAT memperuntukkan RM50 juta menerusi Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) khusus untuk komuniti usahawan India yang menjalankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi penyediaan modal kerja dan perbelanjaan modal untuk membolehkan usahawan mengembangkan perniagaan.

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia yang telah memberikan mandat, sokongan dan kerjasama yang padu kepada saya untuk mengumumkan satu lagi inisiatif baharu di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) demi untuk memperkasakan ekonomi kaum India. Sesungguhnya, komitmen dan dedikasi para usahawan untuk mengembangkan dan memajukan perniagaan sentiasa memberi inspirasi kepada saya.”

“Justeru, saya sering memberikan tumpuan utama terhadap inisiatif ‘pemerkasaan ekonomi’ khususnya untuk masyarakat India. Kekuatan ekonomi sahajalah yang mampu menjamin masa depan dan juga hala tuju masyarakat India di negara ini. Ini juga merupakan pegangan dan prinsip saya,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan semasa berucap pada Majlis Pelancaran Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) di Menara Kembar Bank Rakyat hari ini.

Tambah beliau, BRIEF-i ini adalah bukti dedikasi Bank Rakyat terhadap inklusiviti serta pembangunan sosioekonomi masyarakat Malaysia secara holistik dan menyeluruh sejak 70 tahun penubuhannya, selain merupakan peluang untuk usahawan komuniti India mencapai aspirasi Kerajaan dalam membasmi kemiskinan tegar, sekali gus merapatkan jurang ekonomi Malaysia MADANI yang makmur dan sejahtera.

“BRIEF-i merupakan inisiatif yang dapat membina masa depan yang lebih cerah bagi usahawan komuniti India. Saya percaya bahawa dengan menyokong usahawan komuniti India, kita mampu memupuk ekonomi yang lebih pelbagai, berdaya tahan dan makmur untuk semua,” tambah beliau.

Mengulas lanjut beliau berkata, BRIEF-i menawarkan pelbagai kelebihan berbanding program pembiayaan lain yang ada di pasaran antaranya; bagi perusahaan mikro, BRIEF-i menawarkan kadar rata 6.50% setahun dengan had pembiayaan antara RM1,000 hingga RM50,000, bagi PKS, kadar pembiayaan adalah pada kadar asas pembiayaan (KAP) + 0.67% setahun, termasuk yuran jaminan dengan had antara RM50,001 hingga RM1 juta.

“Berbeza dengan sesetengah program pembiayaan lain, BRIEF-i tidak memerlukan usahawan untuk mempunyai simpanan paksa (force savings) atau menyertai kumpulan bantuan diri (self-help group). Ini memberikan kebebasan kepada usahawan untuk fokus sepenuhnya kepada perniagaan mereka tanpa sebarang kekangan tambahan,” ujarnya.

Beliau juga menekankan bahawa BRIEF-i menetapkan proses dokumentasi yang ringkas berbanding program pembiayaan lain bagi membolehkan usahawan memohon dengan lebih mudah dan pantas, di samping jaminan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) turut disediakan bagi pelanggan PKS dan perlindungan Takaful secara percuma bagi perusahaan mikro.

Selain daripada proses kelulusan permohonan mengambil masa selama 14 hari bekerja sahaja, BRIEF-i turut menetapkan kriteria kelayakan bagi memastikan program pembiayaan ini mencapai golongan sasaran.

“Perusahaan mikro mestilah telah beroperasi sekurang-kurangnya satu tahun dengan rekod CTOS dan CCRIS yang memuaskan, manakala usahawan PKS mestilah telah beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun, mengekalkan rekod CTOS dan CCRIS yang memuaskan serta mempunyai nilai aset bersih yang positif,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, inisiatif BRIEF-i yang diilhamkan oleh YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan ini merupakan usaha berterusan Bank Rakyat dalam menyokong dan memperkasa komuniti perniagaan India di Malaysia dengan menyediakan kemudahan dan sokongan kewangan menyeluruh kepada usahawan komuniti India daripada sektor PMKS di seluruh negara.

“Inisiatif ini adalah bertujuan untuk membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif seiring dengan matlamat Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan impak positif kepada ekonomi serta komuniti menerusi penyediaan perkhidmatan kewangan yang mampan dan terangkum untuk memenuhi kehendak setiap peringkat pelanggan terutamanya kepada golongan unserved dan underserved.”

“Justeru, harapan Bank Rakyat agar inisiatif ini dapat memberi kelegaan dan penyelesaian kepada usahawan PMKS untuk meneruskan perniagaan mereka serta menjadikan perusahaan mereka lebih progresif, komprehensif dan bersepadu.”

“Sejak dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, beliau telah mengusahakan dua (2) buah program untuk komuniti masyarakat India Malaysia iaitu Program Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) berjumlah RM30 juta di bawah TEKUN Nasional dan Program PENN (Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women) berjumlah RM50 juta di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Bank Rakyat turut berbesar hati dapat bersama-sama memajukan ekonomi usahawan India melalui BRIEF-i seiring dengan gagasan Malaysia Madani di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” kata Datuk Mohd Irwan.

Untuk memohon dan mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai hanya perlu melayari laman sesawang rasmi Bank Rakyat dan QR2E (Quick Response to Entrepreneurs) di www.bankrakyat.com.my dan https://qr2e.bankrakyat.com.my serta mengunjungi mana-mana Pusat Perbankan Perniagaan Bank Rakyat. – REFLEKS!

Baca ini > Kerajaan Negeri Johor, Bank Rakyat, PUJB, jalin kerjasama lancar inisiatif tanpa tunai di Bazar Karat Johor Bahru