Friday, May 17, 2024

Kerajaan Negeri Johor, Bank Rakyat, PUJB, jalin kerjasama lancar inisiatif tanpa tunai di Bazar Karat Johor Bahru

BAZAR Karat Johor Bahru dipilih sebagai lokasi perintis bagi menjayakan program pendigitalan pasar tanpa tunai Jajahan Rakyat yang mana merupakan jaringan kerjasama strategik antara Bank Rakyat dengan Kerajaan Negeri Johor, Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) serta Persatuan Pembangunan dan Kebajikan Bazar Karat Johor Bahru (PPKBK).

Turut hadir ketika majlis pelancaran inisiatif tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah dan Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Mohamad Shiblie Abg Sapuan.

Hairi berkata, “Penglibatan hampir 300 peniaga Bazar Karat Johor Bahru dalam inisiatif Jajahan Rakyat ini membolehkan mereka memanfaatkan produk dan kemudahan teknologi digital yang disediakan oleh Bank Rakyat bagi tujuan mempromosi produk tempatan sekali gus meningkatkan hasil jualan produk dan pendapatan mereka.

“Sehubungan dengan itu, adalah menjadi harapan saya agar setiap peniaga dapat mengambil peluang keemasan ini untuk terus maju ke hadapan dan tidak ketinggalan dalam bidang perniagaan yang diceburi,” tambah  Hairi.

Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Mohamad Shiblie Abg Sapuan pula berkata, usaha pendigitalan pasar ini bertujuan bagi memacu aspirasi Kerajaan dalam memperkasakan segmen perniagaan informal termasuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi, di samping membantu PMKS menyegerakan peralihan model perniagaan kepada lebih digital.

“Peniaga yang terlibat kini boleh memanfaatkan produk dan kemudahan perbankan digital Bank Rakyat termasuk aplikasi i-MerchantRAKYAT yang dilengkapi dengan QR DuitNow bagi membolehkan penerimaan bayaran transaksi tanpa tunai melalui kod QR; Akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i); kemudahan pos terminal dan banyak lagi.

Kerjasama strategik ini turut mencerminkan komitmen Bank Rakyat bagi menyantuni golongan unserved and underserveddengan matlamat untuk menjana ekonomi lestari, sejajar dengan kerangka Ekonomi Madani, Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 Bank Negara Malaysia serta Matlamat Pembangunan Lestari (SDG),” ujar Mohamad Shiblie.

Ujarnya lagi, inisiatif ini yang bakal diperluas di negeri lain dilihat sebagai satu langkah intensif bagi membimbing dan membantu usahawan untuk terus berinovatif selain dapat mengakses dan meneroka peluang perniagaan era digital. – REFLEKS!

Baca ini > Bank Rakyat perkenal platform Sandbox, pacu inovasi kewangan Islam