Tuesday, July 9, 2024

Bank Rakyat tawar moratorium sehingga enam bulan kepada mangsa banjir di Sabah

BANK RAKYAT menawarkan bantuan khas banjir yang merangkumi kemudahan moratorium sehingga enam bulan kepada pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat bencana banjir di Sabah yang membabitkan empat daerah termasuk di Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman dalam satu kenyataan berkata, sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang prihatin, Bank Rakyat terpanggil untuk mengurangkan bebanan dan kesulitan yang dihadapi pelanggannya dan berharap agar kemudahan moratorium ini dapat memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman

“Langkah proaktif yang diambil oleh Bank Rakyat ini yang mana amat bertepatan dengan nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan dan komitmen yang ditanggung pelanggan dalam waktu yang mencabar ini.

“Justeru, pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk membuat ansuran bayaran pembiayaan bagi produk yang dilanggan boleh memohon bantuan moratorium ini. Ini termasuk bagi produk Pembiayaan Peribadi-i, Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i, Sewa Beli Kenderaan-i, Pembiayaan Pendidikan-i, Pembiayaan Mikro-i dan Pajak Gadai-i,” ujar Dato’ Dr.  Mohammad Hanis.

Bencana banjir telah melanda Sabah baru-baru ini yang membabitkan empat daerah termasuk di Penampang, Putatan, Tuaran dan Tamparuli

Pelanggan yang terjejas boleh memohon menerusi e-mel [email protected] dengan menyertakan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat terjejas, nombor telefon bimbit untuk dihubungi, jenis pembiayaan serta salinan bil utiliti yang mengesahkan alamat pelanggan. Pelanggan perniagaan juga boleh terus mengunjungi Pusat Perbankan Perniagaan (BBC) berhampiran bagi mendapatkan bantuan.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800 dan mengunjungi cawangan Bank Rakyat atau Susulan Berpusat (SB) yang berdekatan serta mengikuti media sosial rasmi Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa. – REFLEKS!

Baca ini > Bank Rakyat agih 13,213 pek daging korban sempena Aidiladha