Friday, July 5, 2024

CBP umum dividen 3.60% untuk Akaun Deposit Koperasi, Kumpulan Wang Rizab Statutori 2023

SURUHANJAYA Koperasi Malaysia (SKM) melalui Co-opbank Pertama (CBP) hari ini mengumumkan kadar dividen untuk Akaun Deposit Koperasi, Kumpulan Wang Rizab Statutori (ADK-KWRS) kepada Pendeposit (Koperasi) adalah sebanyak 3.60% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dengan jumlah agihan dividen sebanyak RM 9.7 juta.

Pengumuman tersebut disempurnakan oleh Pengerusi SKM, YBhg. Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Bin Jalal (B) yang turut dihadiri Pengerusi CBP, Datuk Baharom bin Embi dan Anggota Lembaga serta Pengurusan Kanan CBP.

Pengerusi SKM, YBhg. Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Bin Jalal (B)

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Encik Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, sehingga 31 Disember 2023, CBP telah menguruskan sebanyak 458 buah koperasi yang telah mendepositkan KWRS ke dalam Akaun Deposit Koperasi dengan jumlah terkumpul sebanyak RM267 juta.

“Jumlah pendeposit ADK-KWRS ini telah meningkat kepada 458 Koperasi daripada 282 Koperasi pada tahun 2022 dengan peningkatan sebanyak 62 peratus manakala jumlah keseluruhan deposit meningkat sehingga 41 peratus. Ini menunjukkan sektor koperasi terus kekal utuh walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu”.

Khairil Anuar turut berkata, CBP mensasarkan peningkatan deposit yang lebih tinggi menjelang akhir tahun ini. Oleh itu, CBP sentiasa bekerjasama dengan SKM bagi memperkenalkan ADK ini kepada koperasi- koperasi yang layak mendeposit di seluruh negara melalui sesi taklimat dan “roadshow”.

“CBP juga adalah pendeposit kepada ADK- KWRS dan telah menyumbang kepada peningkatan jumlah deposit dan kadar agihan dividen secara keseluruhan pada tahun 2023”.

“Deposit ADK-KWRS ini dijangka dapat membantu koperasi-koperasi yang memerlukan pembiayaan dengan penawaran kadar keuntungan yang kompetitif”.

Turut disampaikan di majlis tersebut ialah penyampaian penghargaan kepada 20 Koperasi Penerima Dividen Tertinggi ADK-KWRS bagi tahun 2023.

CBP telah dilantik sebagai Pengurus Dana ADK-KWRS sejak 12 September 2019 bagi tempoh lima (5) tahun bermula dari 2019 hingga 2024 dan ianya merupakan inisiatif dibawah Pelan Pembangunan Sektor Perkhidmatan Koperasi oleh SKM bagi memperkasakan Gerakan Koperasi Kebangsaan. – REFLEKS!

Baca ini > CBP buka cawangan di Papar