Friday, July 5, 2024

Go Hub Sasar Raih RM37.51 Juta daripada IPO

GO HUB Capital Berhad (Go Hub) menyasarkan mengumpul RM37.51 juta melalui terbitan 107.18 juta saham baharu melalui tawaran awam permulaan (IPO).

Syarikat penyedia penyelesaian teknologi maklumat (IT) pengangkutan utama itu telah melancarkannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).

Hasil daripada IPO akan diperuntukkan bagi peluasan operasi perniagaan dan meningkatkan keupayaan operasi, membolehkan Go Hub meningkatkan skala untuk memenuhi projek semasa dan memasuki pasaran baharu.

Hasil IPO itu juga akan digunakan untuk pembangunan berterusan penawaran penyelesaian inovatif, memfokuskan pada aplikasi teknologi dan penyelesaian yang mengoptimumkan dan menyelaraskan aliran proses operasi dengan cekap.

Selain pemasaran untuk meningkatkan keterlihatan jenama dan penglibatan pelanggan melalui kempen yang disasarkan dan acara industri serta bagi meningkatkan kecekapan operasi.

Permohonan untuk IPO telah dibuka bermula jam 10 pagi ini berikutan pelancaran prospektus dan akan ditutup pada 20 Jun ini.

Tarikh penyenaraian IPO yang disasarkan pada 3 Julai dengan harga terbitan RM0.35 sesaham.

Go Hub akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM140 juta menjelang penyenaraiannya.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Go Hub, Tan Cherng Thong berkata,  pihaknya sangat gembira kerana telah mencapai kejayaan baharu dengan pelancaran prospektus hari ini, membawa selangkah lebih dekat ke arah menjadi entiti tersenarai di Pasaran ACE Bursa Securities sejak berada dalam industri pengangkutan 2011.

“Penyenaraian kami adalah selaras dengan rancangan dan strategi pertumbuhan untuk meningkatkan operasi, mengembangkan penawaran penyelesaian dan meluaskan jangkauan ke luar negara.

“Kami optimis mengenai masa depan dan peluang IPO ini dibuka untuk syarikat,” katanya di sini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pasaran Modal UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd., Tan Meng Kim berkata, ketika pihaknya melangkah ke era di mana transformasi digital adalah penting, Go Hub berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi cabaran ini.

“Visi strategik Go Hub, digabungkan dengan kehebatan teknologi mereka, memastikan pertumbuhan berterusan dan kepimpinan dalam sektor penyelesaian IT pengangkutan awam,” katanya.

Go Hub telah menunjukkan pertumbuhan yang konsisten, disokong oleh kepakaran kumpulan dalam membangun dan melaksanakan penyelesaian IT yang komprehensif untuk pengangkutan awam, termasuk sistem TOS, BOS dan Automated Fare Collection (AFC).

Komitmen Syarikat terhadap kualiti, kecekapan dan inovasi telah menjadikannya sebagai pembekal yang dipercayai di Malaysia.

UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan untuk Go Hub.

Baca ini > KWSP catat pendapatan RM19.2 bilion bagi suku pertama 2024