Saturday, July 6, 2024

Istiadat Pertabalan Agong ke-17 di Istana Negara 20 Julai ini – Fahmi Fadzil

ISTIADAT Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 Sultan Ibrahim akan berlangsung di Istana Negara pada 20 Julai ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi mengumumkan perkara itu selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong.

“Sebagaimana kita sedia maklum, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada hari Rabu, 31 Jan 2024.

“Sehubungan itu Kerajaan dengan titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan melaksanakan acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim,” katanya kepada media semalam.

Terdahulu Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa, Jabatan Perdana Menteri Datuk Rozainor Ramli mengumumkan pelantikan Fahmi sebagai Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong. – BERNAMA

Baca ini > Sultan Ibrahim mulakan tugas pertama sebagai Agong Ke-17