Friday, May 17, 2024

Sultan Ibrahim mulakan tugas pertama sebagai Agong Ke-17

SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memulakan tugas pertama Baginda dengan berkenan menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pertemuan Perdana Menteri bersama Seri Paduka Baginda berlangsung di Istana Negara, Semalam.

Sultan Ibrahim melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara pada Rabu.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara, pada Oktober lalu bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Sultan Ibrahim menggantikan adinda ipar Baginda, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Januari.

Sementara itu, Anwar menzahirkan terima kasih kepada Seri Paduka Baginda atas perkenan menerima beliau menghadap semalam.

Beliau menjelaskan, dalam sesi menghadap tersebut beberapa perkara telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda.

Antaranya terkait perkembangan terkini negara serta isu-isu melibatkan rakyat keseluruhannya. – REFLEKS!

Baca ini > Rakyat teruja nantikan Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17