Saturday, July 6, 2024

Konsert Wali X Setia “Cari Jodoh” & “Dawai” In Penang berlangsung meriah

KONSERT mega yang julung-julung kalinya diadakan, Konsert Wali X Setia “Cari Jodoh” & “Dawai” In Penang anjuran Orange International (OI) telah berjaya menghiburkan peminat-peminat muzik khususnya di sebelah Utara.

Rencana yang mulanya membawakan satu kumpulan pop popular Indonesia (Wali Band) dikejutkan dengan penambahan satu lagi kumpulan pop (Charly Setia Band).

Disamping itu, penonton turut disajikan dengan persembahan oleh penyanyi Indonesia yang sedang meningkat naik, Fadhilah Intan yang tular dengan lagu Dawai selain kemunculan penyanyi popular Malaysia, Saixse dan juga Khai Bahar.

CEO & Pengasas Orange International Datuk Fadzli Idrus berkata, pada mulanya, hanya Wali sahaja yang akan menjadi main act, tetapi seakan bulan jatuh ke riba apabila Charly Setia pula berminat untuk turut serta menjayakan konsert berkenaan.

“Bonus tidak ternilai buat siapa yang menontonnya kerana kami menawarkan tiket pada harga yang sama,” katanya.

Konsert yang bertempat di Spice Arena, Pulau Pinang menyaksikan Wali mempersembahkan 12 buah lagu hit mereka seperti Cari Jodoh, Ada Gajah Di Balik Batu, Si Udin Bertanya, Yank, Aku Bukan Bang Toyib dan lain-lain.

“Terima kasih buat semua peminat kami di Malaysia yang hadir menyaksikan Wali beraksi, kamu semua adalah yang terbaik.

“Kami sangat berbesar hati dapat menghiburkan anda semua dan ‘asyik’ dengan sing-along bersama-sama kami,” kata Vokalis Wali, Faank.

Manakala Charly Setia menyanyikan lagu-lagu popular mereka seperti Cinta Sampai Mati, Jangan Pernah Berubah dan Asmara serta banyak lagi.

Seterusnya, malam konsert menjadi gamat apabila penyanyi Fadhilah Intan menyanyikan lagu Dawai yang ditunggu-tunggu ramai.

Lebih istimewa apabila dia turut menyanyikan lagu Bukan Cinta Biasa yang dipopularkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Malam konsert bertambah hangat apabila giliran Saixse pula muncul di pentas dengan menyanyikan lagu Malam Pagi yang dinyanyikan bersama oleh semua penonton yang hadir.

Kemudian, Khai Bahar pula muncul di pentas membawakan lagu Luluh, Bayang, Oh Wanita dan sebuah lagu bonus, Lemas.

Rata-rata penonton yang hadir mengenakan baju berwarna hijau yang menjadi tema pada malam konsert sebagai tanda sokongan terhadap program Eco-Schools yang disarankan oleh kerajaan.

“Terima kasih kepada semua pembeli tiket dan penonton yang hadir menggamatkan konsert, sekali lagi saya selaku pihak penganjur bersama-sama MN berterima kasih kepada pembeli-pembeli tiket awal yang memahami dengan pertukaran tarikh dan ‘kejutan’ ini,” kata Fadzli lagi.

Kredit: Max-Infos.Com

Baca ini > Konsert The Rock Emperor Kuala Lumpur Chapter: Datuk Awie-King of Rock