Tuesday, July 9, 2024

Malaysia, China jalin kerjasama dalam pelancongan, Program Eksekutif Pertukaran Kebudayaan bagi tahun 2024 hingga 2029

MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Duta Besar Republik Rakyat China (RRC) ke Malaysia, Ouyang Yujing, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama dalam Bidang Pelancongan dan Perjanjian Program Eksekutif Pertukaran Kebudayaan bagi tahun 2024 hingga 2029, sewaktu lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia pada 18 hingga 20 Jun 2024.

Pertukaran kedua-dua Perjanjian ini telah diadakan dalam Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Li Qiang di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Pemeteraian kedua-dua perjanjian ini adalah seiring dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia – China yang diraikan pada tahun 2024 dalam usaha meningkatkan lagi sinergi dalam bidang kebudayaan dan pelancongan antara kedua- dua buah negara.

Antara kerjasama yang akan dilaksanakan oleh kedua-dua buah negara hasil pemeteraian perjanjian dalam bidang kebudayaan ini termasuk pencalonan bersama bagi Tarian Singa dalam UNESCO

Representative List of Intangible Cultural Heritage (ICH) of Humanity serta keahlian Malaysia dalam Alliance for Cultural Heritage in Asia (ACHA) yang diterajui oleh China. Satu persembahan Teater Muzikal Hang Li Po khas oleh Orkestra Traditional Malaysia, Istana Budaya dengan pemuzik dari China akan diadakan.

Pemeteraian MoU dalam bidang pelancongan akan mengukuhkan kerjasama antara Malaysia dan China ke penggalakan dan pemasaran pelancongan, peningkatan kesalinghubungan udara yang menghubungkan destinasi pelancongan utama di Malaysia dan  China,  pelancongan  perniagaan  (MICE)  dan  promosi  serta pembangunan pelancongan berteraskan komuniti dan eko- pelancongan.

Malaysia dan China akan terus meningkatkan lagi kolaborasi dalam bidang pelancongan dan kebudayaan ke arah pembangunan produk dan perkhidmatan industri seni, budaya serta warisan negara melalui perkongsian ilmu dan pertukaran kepakaran. – REFLEKS!