Tuesday, July 9, 2024

Maritim Malaysia anjur cabaran ‘Berapung Untuk Hidup’ sempena Hari Kesedaran Keselamatan Maritim

BUAT julung kalinya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menganjurkan program Cabaran ‘Berapung Untuk Hidup’ sempena sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) Peringkat Kebangsaan yang diraikan pada hari ini.

Bertempat di Institut Latihan Pengangkutan Laut (MATRAIN) Klang, program ini merupakan inisiatif Maritim Malaysia bagi meningkatkan kesedaran serta mendidik orang ramai khususnya komuniti maritim melalui media massa dan media sosial agar mementingkan keselamatan diri ketika berada di laut.

Berdasarkan statistik yang direkodkan oleh Maritim Malaysia dari tahun 2020 hingga April 2024, seramai 413 mangsa terlibat insiden di laut dilaporkan maut, manakala 191 mangsa dilaporkan hilang di laut.

Justeru persediaan rapi perlu dilakukan orang ramai bagi menghindarkan diri daripada terlibat dengan sebarang kemungkinan terutamanya insiden kecemasan di laut seperti lemas atau hilang di laut.

Selain sentiasa memakai jaket keselamatan, membawa Personal Locator Beacon (PLB) serta memastikan keadaan bot selamat, kaedah berapung merupakan survival skill yang penting untuk menyelamatkan diri daripada lemas di laut sekiranya berlaku insiden seperti terjatuh daripada bot atau bot karam.

Justeru bersempena program pada kali ini, seramai hampir 50 orang terdiri daripada wakil agensi media tempatan serta pegawai dan anggota dari Jabatan Laut Malaysia (JLM) yang terlibat dalam Cabaran ‘Berapung Untuk Hidup’ akan ditunjukkan cara- cara untuk melakukan kaedah berapung yang betul oleh pegawai Maritim Malaysia.

Melalui program ini, Maritim Malaysia berharap media dapat menyampaikan berita tentang kepentingan menjaga keselamatan diri di laut selain menghebahkan tentang HKKM 2024.

Untuk rekod, HKKM disambut pada 6 Jun setiap tahun merupakan satu pengiktirafan kepada semua petugas serta agensi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) maritim yang setia berkhidmat menempuh cabaran demi menyelamatkan nyawa dan harta benda di laut.

Sambutan HKKM ini turut diadakan di seluruh negara merangkumi peringkat Maritim Negeri dan Pejabat Zon Maritim. – REFLEKS!

Baca ini > US Coast Guard perkukuh hubungan dengan Maritim Malaysia