Saturday, July 6, 2024

Muhammad Illaham sahut cabaran Pendaki 7 Puncak Tertinggi 7 Benua Dunia

SEORANG lagi Anak Malaysia bakal mencatat nama sebagai Pendaki 7 Puncak Tertinggi 7 Benua Dunia, jika berjaya menamatkan pendakian di dua lagi gunung iaitu Denali di Alaska dan Vinson Massif di Antartika.

Muhammad Illaham Ishak, 47, yang juga Anak Kelahiran Balik Pulau, Pulau Pinang, akan melengkapkan misi itu bermula dengan pendakian di Gunung Denali, setinggi 6,194 meter minggu depan selepas tertangguh lebih empat tahun akibat pandemik Covid19 selain kekurangan dana.

Muhammad Illaham menjalani latihan pendakian di gunung Denali, Alaska

Menurut beliau, misi ke Gunung Denali kali ini mendapat sokongan moral daripada Ahli Parlimen, Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Muhammad Bakhtiar atas sokongan yang diberikan kepada saya sebagai Anak Jati Balik Pulau dan misi saya kali ini sudah tentu saya akan membawa bersama bendera negeri Pulau Pinang untuk dikibarkan di puncak Denali.

Saya juga memohon kepada semua untuk mendoakan kejayaan saya melengkapkan misi pendakian ini”, katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Satu majlis ringkas penyerahan bendera Pulau Pinang untuk misi ke gunung Denali itu disempurnakan oleh Muhammad Bakhtiar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Balik Pulau di sini baru-baru ini.

Misi pendakian 7 Puncak 7 Benua Dunia itu dilaksanakan dibawah kelolaan Kelab Jelajah Alpine, KJA.

Pendakian Muhammad Illaham ke gunung Denali kali ini akan disertai dua lagi pandaki iaitu Ir. Zulkifly Yusof, 37 dan Zainudin Lot, 47 yang juga Penasihat KJA.

Pendakian Muhammad Illaham di gunung Denali tanpa dibantu oleh Malim Gunung. Segala peralatan dan keperluan sepanjang pendakian selama dua hingga tiga minggu perlu dibawa sendiri.

Ekspedisi gunung Denali ini juga bakal mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai pendakian “Self Guided” iaitu pendakian dilakukan tanpa sebarang bantuan Malim Gunung atau pendaki profesional lain dari luar.

Muhammad Illaham yang juga Presiden KJA, sebelum ini telah melengkapkan pendakian di puncak tertinggi di benua Afrika iaitu Gunung Kilimanjaro setinggi 5,895 pada tahun 2009.

Diikuti puncak tertinggi di benua Eropah iaitu Gunung Elbrus setinggi 5,642 meter  di Rusia pada tahun 2012.

Memasang khemah berehat dan bermalam dalam proses pendakian ke puncak Denali.

Pada tahun 2013, beliau berjaya menawan puncak tertinggi di benua Asia iaitu Gunung Everest setinggi 8,848 meter yang juga puncak tertinggi di dunia.

Seterusnya pada tahun 2018, beliau ke puncak tertinggi di benua Amerika Selatan iaitu Gunung Aconcagua setinggi 6,961 meter di Argentina dan Gunung Cartenz Pyramid di Papua, Indonesia iaitu puncak tertinggi di benua Australasia setinggi 4,884 meter.

Untuk rekod, kurang 400 orang pendaki dari seluruh dunia berjaya mencatat nama selaku Pendaki 7 Puncak Tertinggi 7 Benua Dunia setakat ini.

Bendera Pulau Pinang yang bakal dikibarkan oleh Muhammad Illaham di puncak Denali sebagai simbolik Anak Kelahiran negeri itu.

“Saya yakin dan percaya pendakian kali ini bakal membuahkan kejayaan atas faktor saya telah mempunyai pengalaman 2 kali menjalani latihan di pendakian Alpine dan polar di Denali.

Antara cabaran terbesar sepanjang pendakian adalah salji tebal dan beban peralatan yang terpaksa saya bawa sendiri kerana pendakian tidak menggunakan sebarang khidmat malim gunung”.

Selain itu jelas Muhammad Illaham, suhu sejuk ekstrim yang mencecah negatif 50 darjah selsius juga menjadi cabaran dalam ekspedisinya itu yang dijangka memakan masa antara dua hingga tiga minggu.

Membina kem perlindungan daripada ribut salji merupakan antara teknik yang perlu dikuasai oleh pendaki di gunung Alpine dan Polar.

Gunung Denali sebelum ini dikenali dengan nama gunung Mckinnley, terletak di Banjaran Alaska dengan ketinggian 6,194 meter, merupakan puncak tertinggi di benua Amerika dan ketiga tertinggi dalam senarai 7 Puncak Tertinggi 7 Benua Dunia.

Rekod pendakian menunjukkan, hanya 53 peratus pendaki berjaya ke puncaknya sejak pendakian pertama dilakukan pada tahun 1913.

Keseluruhannya, kurang 400 orang pendaki yang berjaya mencatat nama sebagai Pendaki 7 Puncak Tertinggi 7 Benua Dunia atau ‘World Seven Summit’.

Setakat ini hanya empat rakyat Malaysia berjaya melakukannya.

“Saya juga mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang sudi untuk bersama saya menyokong bagi melengkapkan pendakian saya ini dengan bantuan dana dan sebagainya khususnya dari negeri Pulau Pinang”, kata Muhammad Illaham. – REFLEKS! 

Baca ini > Mendaki Trans 5 Puncak Latimonjong – Tiada istilah patah balik!