Saturday, July 6, 2024

Pesta Air Nasional @ Kuantan 2023 dekatkan pengunjung dengan seni dan budaya

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Kerajaan Negeri Pahang menganjurkan program Pesta Air Nasional @ Kuantan 2023 selama tiga (3) hari bermula pada 18 hingga 20 Ogos 2023 bertempat di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang.

Majlis dihadiri oleh Leong Yu Man, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan, Negeri Pahang, mewakili YAB Menteri Besar Pahang, Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan pemimpin di peringkat Persekutuan serta Negeri.

Penganjuran Pesta Air Nasional @ Kuantan 2023 ini adalah usaha memperkukuhkan industri pelancongan, seni dan budaya secara inklusif di samping inisiatif berterusan Kementerian memperkenalkan budaya Malaysia di mata dunia khususnya kepada para pelancong domestik dan antarabangsa.

Program ini juga adalah merupakan salah satu inisiatif untuk menyemarakkan kegiatan ekonomi di negeri Pahang, khususnya di kawasan Pantai Teluk Cempedak yang melibatkan ramai pihak terutama penggiat industri pelancongan dan rantaian yang berkaitan dengannya seperti penginapan, makanan, peruncitan, pengangkutan dan sebagainya.

MOTAC yakin pemilihan Kuantan sebagai destinasi tuan rumah pelaksanaan Pesta Air Nasional adalah satu pilihan yang tepat. Kuantan memiliki daya tarikan tersendiri untuk menarik pelancong datang berkunjung, lebih-lebih lagi Teluk Cempedak yang merupakan salah satu destinasi tarikan pelancong yang penting di Kuantan.

Antara pengisian menarik yang telah diatur sepanjang tiga hari program ialah Laser projection on water screen, Sukan Rakyat, Pertandingan kayak, Pertandingan Pukul Bantal dan Panjat Tiang Licin, Pertandingan Luncur Ombak dan Luncur Angin, demonstrasi makanan warisan, demonstrasi menyelamat dan keselamatan oleh Angkatan Pertahanan Awan Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Polis Marin serta pelbagai pameran dan jualan.

Selain itu, pada hari terakhir iaitu 20 Ogos 2023 akan diadakan Malam Gala Festival Kesenian Peribumi Malaysia 2023 (FeSKEP) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, iaitu agensi di bawah MOTAC.

Program yang mendapat kerjasama Persatuan Seni Silat Senaman Gerak Sentuhan Kuantan ini menonjolkan keunikan tujuh (7) suku kaum masyarakat peribumi dalam memupuk semangat perpaduan bersama masyarakat melalui aktiviti seni budaya. Tujuh (7) suku kaum yang terlibat ialah dari negeri Pahang (Semelai dan Jahut), Selangor (Mah Meri dan Bah Bola), Negeri Sembilan (Temuan), Kelantan (Bateq) dan Terengganu (Semoq Beri).

MOTAC berharap Pesta Air Nasional kali ini dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat dan sekitarnya serta mereka yang terlibat secara langsung dalam aktiviti berkaitan pelancongan seni budaya. Pemerkasaan sektor pelancongan, seni budaya menjadi sebahagian daripada usaha di bawah konsep Malaysia MADANI. – REFELKS!

Baca ini > Balai Seni Negara anjur Kenduri Seni Kampung meraikan kreativiti dan kelestarian budaya