Sunday, May 19, 2024

Sime Darby Property, Lagenda Properties tubuh Seed Homes Lagenda bina rumah mampu milik

SIME DARBY Property Berhad menerusi anak syarikatnya, Seed Homes Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian pemegang saham dengan Lagenda Properties Berhad bagi menubuhkan syarikat usaha sama untuk membangunkan rumah mampu milik.

Seed Homes adalah portfolio terbaharu Sime Darby Property yang bertujuan untuk menyampaikan rumusan inovatif dalam segmen rumah mampu milik.

Seed Homes Lagenda, iaitu syarikat usaha sama 50:50 mereka, akan memulakan projek perbandaran mampu miliknya yang pertama di Gurun, Kedah menerusi perolehan tanah seluas 100.8 hektar dari Sime Darby Property.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican

Dijangka menghasilkan lebih 3,000 rumah mampu milik, pembangunan ini memanfaatkan lokasi strategik dan kesan limpahan daripada potensi pertumbuhan perindustrian di Gurun.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, inisiatif pertama syarikat tersebut dalam sektor perbandaran mampu milik menerusi usaha sama dengan Lagenda Properties membolehkan projek dibangunkan secara komersial serta memberikan akses yang lebih baik kepada pemilikan rumah bagi semua pelanggan.

“Usaha sama ini membuktikan komitmen kami untuk menyediakan rumah mampu milik dan bekerjasama dengan pihak-pihak yang boleh memberikan nilai tambahan kepada saranan ini, berpandukan matlamat syarikat sebagai pengganda nilai kepada masyarakat, perniagaan, ekonomi dan planet,” tambahnya.

Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh

Sementara itu, Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh yakin rekod prestasi syarikatnya dalam pembangunan rumah mampu milik menunjukkan keupayaan yang tinggi selaras dengan minat dan keperluan pasaran.

“Kepakaran kami membolehkan kami membangunkan perbandaran mampu milik dengan harga berpatutan. Model yang terbukti ini, diperbaik menerusi penambahbaikan berterusan merentasi pelbagai projek, merupakan kemahiran berharga yang kami tampilkan dengan Seed Homes Lagenda.

“Bersama Sime Darby Property, kami beraspirasi untuk meningkatkan impak dan meluaskan pengaruh kami untuk menyampaikan rumah mampu milik ke spektrum rakyat Malaysia yang lebih luas,” katanya. – REFLEKS!

Baca ini >  Pinjaman LPPSA: Fasilitasi Perumahan Melalui Skim Khas Kerajaan