Saturday, July 6, 2024

Sektor solar perlu dimasukan dalam Skim Pembiayaan Teknologi Hijau

KERAJAAN diminta memasukkan sektor tenaga solar dalam Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTSF) kerana ia penting dalam membangunkan industri tenaga boleh baharu (RE) di negara ini.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir. Guntor Tobeng berkata, ketika negara mahu mencapai sasaran karbon sifar, sektor RE terutama yang berasaskan solar perlu diperkasakan termasuk membantu memudahkan pembiayaan kepada pemain industri dalam sektor ini.

“Apabila kita bercakap tentang teknologi hijau, penggunaan RE adalah komponen utamanya, dan solar adalah elemen utama dalam menjana RE di negara ini, jadi ia sepatutnya turut dimasukkan dalam skim GTSF ini.

“GTSF adalah instrument jaminan kredit oleh Credit Guarantee Corporation (CGC), iaitu CGC menyediakan jaminan sebanyak 60 peratus jumlah pinjaman dan diskaun dua peratus terhadap faedah yang dikenakan oleh bank kepada pelabur solar.

“Ia adalah instrumen penting dalam memberi keselesaan kepada pihak bank dalam menyediakan pinjaman bernilai besar kepada perusahaan, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang ingin menceburkan diri dalam industri peralihan tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada sesi bertajuk Pertumbuhan PMKS Tonggak Pertumbuhan Ekonomi Negara sempena Simposium Sasana 2024 anjuran Bank Negara Malaysia di sini hari ini.

Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., Datuk Ir. Guntor Tobeng (dua dari kanan) bersama barisan ahli panel selepas sesi bertajuk Pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (MSME’s) Tonggak Pertumbuhan Ekonomi Negara sempena Simposium Sasana 2024 anjuran Bank Negara Malaysia.

Katanya, ketika kerajaan bercakap tentang peralihan tenaga, mengurangkan jejak karbon dan tenaga boleh baharu, malangnya industri solar yang merupakan penyumbang utama dalam menjayakan cita-cita kerajaan ini tidak termasuk dalam insentif GTFS.

Selain itu, beliau juga menggesa kerajaan mengutamakan PMKS yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam pemberian kontrak berkaitan tenaga solar sama ada yang membabitkan pemasangan solar fotovoltaik atau ladang solar berskala besar.

“Syarikat-syarikat ini kecil tetapi mereka pengalaman dan kepakaran cukup luas kerana ada yang sudah menguruskan ladang solar dan terbabit dalam industri solar sejak dari awal.

“Daripada menganugerahkan kontrak kepada syarikat-syarikat yang baru ditubuhkan dan tidak ada pengalaman serta kepakaran termasuk syarikat milik kerajaan adalah lebih baik diberikan kepada mereka yang keupayaan.

“Dan kerajaan pula boleh membantu mereka dari segi memudahkan mendapat modal pusingan bagi melaksanakan projek berkaan. Secara tidak langsung ini akan membantu mengembangkan sektor PMKS dalam tenaga boleh baharu di negara ini,” jelasnya.

Katanya, ini juga dapat mengelakkan daripada projek lewat siap, kos tinggi atau terbengkalai disebabkan syarikat yang diberikan tanggungjawab tiada kepakaran dan pengamalan.

“Apabila tidak boleh siap pada masa yang ditetapkan atau terbengkalai ia akan menjejaskan usaha kerajaan mencapai sasaran karbon sifar dan menjadikan Malaysia sebagai negara pengeksport tenaga boleh baharu di rantau ini,” katanya.

Kredit: Suara Merdeka 

Baca ini > Gading Kencana rancang bina ladang solar keempat di Kedah