Friday, May 17, 2024

Selepas 24 tahun: Westlife kembali beraksi di Arena of Star

ADA tak antara pembaca REFLEKS yang ingat lirik lagu berjudul Uptown Girl dan Flying Without Wings? Itu adalah antara lagu popular kumpulan dari reland, Westlife yang diasaskan penubuhannya sekitar tahun 1998.

Anggota Westlife di zaman mudanya pernah beberapa kali datang ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan debut album mereka.

Ketika itu mereka berlima dan wartawan REFLEKS ini juga beberapa kali menemu bual Westlife termasuklah ketika kumpulan itu membuat promosi album mereka ke negara jiran, Singapura.

Anggota Westlife terdiri daripada Kian Egan, Nicky Byrne, Brian McFadden, Shane Filan dan Mark Feehily.

Sepanjang wujudnya Westlife, Brian keluar daripada kumpulan itu selepas mendirikan rumahtangga dan tinggallah Westlife dengan empat anggotanya.

Sepertimana disebut awal-awal lagi, Westlife pernah beberapa kali datang ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan album debut mereka dan Asia Tour. 

Mereka juga pernah mengadakan persembahan berupa showcase di Arena of Stars, Genting Highlands.

Ya, selepas 24 tahun berlalu, Westlife dikhabarkan akan mengadakan persembahan di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 9 Jun ini.

Persembahan Westlife The Hits Tour 2024 anjuran MMIC Entertainment Group dengan JS Concert Productions sebagai Promoter akan diadakan pada jam 6 petang dan tiket-tiket mula dijual pada 26 April lalu.

Persembahan Westlife nanti bagaimanapun tanpa kehadiran Mark Feehily yang diberitakan, keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

Westlife yang ditubuhkan pada 1998 berjaya melakar nama sebagai kumpulan lelaki era 2000 yang menjadi perhatian di seluruh dunia dengan lagu-lagu hits dan persembahan yang memukau.

Westlife berjaya menjual lebih 55 juta unit album, berjaya menghasilkan 36 album nombor satu. 

Untuk rekod, Westlife juga berjaya mengumpul lebih daripada 3 bilion  aliran global, melepasi 1 bilion tontonan YouTube dan menjual lebih 5.5 juta tiket konsert di seluruh dunia. 

Sepanjang kerjaya, Westlife menerima pelbagai anugerah termasuk satu World Music Award, dua Brit Awards, empat MTV Awards dan empat Record of the Year Awards.

Tiket ke Westlife The Hits Tour 2024 berharga RM1,188 (VIP), RM988 (PS1), RM788 (PS2), RM588 (PS3) dan RM388 (PS4) tertakluk kepada yuran pemprosesan RM4.

Tiket boleh dibeli atas talian menerusi MMIC Entertainment Group di mmic.bigtix.io, Resorts World Genting di rwgenting.com dan BookMyShow di my.bookmyshow.com – REFLEKS