Tuesday, July 9, 2024

Bank Rakyat kembali anjur Karnival Rumah Impian bermula hari ini, galak pemilikan rumah pertama

BANK RAKYAT kembali menganjurkan Karnival Rumah Impian sebagai inisiatif menggalakkan pemilikan rumah sendiri dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan pembeli rumah kali pertama.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, berikutan sambutan yang menggalakkan pada tahun 2023, Bank Rakyat meneruskan penganjuran kali kedua karnival itu yang berlangsung selama empat hari bermula 27 Februari hingga 1 Mac 2024 pada jam 9 pagi hingga 5 petang, bertempat di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur.

Menurutnya, 10 pemaju hartanah terkemuka turut terlibat seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Astrum Ampang Sdn Bhd, Medan Prestasi Sdn Bhd (MK Land Bhd), Lagenda Properties Berhad, Sime Darby Property Berhad, Kita Sejati Sdn Bhd (LBS Bina Group Bhd), Apex Point Development Sdn Bhd, UDA Land Sdn Bhd, Pan Sejati (M) Sdn Bhd dan MKH Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman

“Orang ramai dijemput menghadiri ke karnival ini, khususnya kumpulan sasaran yang menghadapi dilema untuk membeli rumah idaman mereka agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan termasuk pelbagai pilihan jenis kediaman dengan harga mampu milik serta promosi dan tawaran menarik daripada Bank Rakyat.

“Selain itu, orang ramai juga boleh menikmati tawaran kadar keuntungan yang lebih rendah dengan kemudahan pembiayaan semula (refinance) bagi mengurangkan komitmen bulanan sedia ada,” katanya.

Orang ramai boleh mengunjungi Karnival Rumah Impian anjuran Bank Rakyat bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai pembiayaan rumah baharu dan pembiayaan semula (refinance) menerusi pakej Pembiayaan Perumahan-i Bank Rakyat. Mereka juga boleh melayari laman sesawang www.bankrakyat.com.my atau hubungi Pusat Panggilan di talian 1-300-80-5454 serta kunjungi mana-mana cawangan Bank Rakyat yang berdekatan. – REFLEKS!

Baca ini > Bank Rakyat sedia pilihan Produk CASA berkonsep Tawarruq, tawar hadiah kempen bernilai RM407,000