Friday, May 17, 2024

Polis tembak mati lima penjenayah aktif sejak tahun 2022 di Putra Heights

LIMA penjenayah yang ditembak mati oleh polis di Persiaran Harmoni, Putra Heights, tengah malam tadi telah bergiat aktif sejak tahun 2022 dan dipercayai terlibat dalam 50 kes samun di seluruh Lembah Klang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan turut menyifatkan kumpulan penjenayah itu sebagai perompak yang ganas dan tidak teragak-agak untuk mencederakan mangsa.

Menurut Hussein, terdapat beberapa kes di mana kumpulan yang dianggotai warga tempatan itu bertindak ganas dengan menetak mangsa.

Beliau berkata, kumpulan penjenayah itu turut menyasarkan kilang, pejabat dan rumah yang mempunyai peti keselamatan.

“Kesemua lima suspek yang ditembak mati berusia antara 25 hingga 30-an yang menyasarkan lokasi di Klang, Puchong, Bukit Jalil, Cheras dan beberapa kawasan lain untuk melakukan samun.

“Dalam kejadian tengah malam tadi itu, pihak polis yang melakukan rondaan jenayah dan pemantauan kes samun telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Axia dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila mereka diarahkan berhenti untuk pemeriksaan lanjut, mereka telah bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah polis.

“Pihak polis telah menjumpai dua senjata api, beberapa bilah parang dan alatan yang dilakukan untuk melakukan rompakan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Hussein memaklumkan, kumpulan itu menyasarkan premis kilang dan pejabat terutama syarikat logistik yang mempunyai peti keselamatan selain rumah kediaman.

Bagi kes samun syarikat logistik, pihak polis tidak menolak jika ada orang dalam memberikan maklumat mengenai wang tunai dalam peti keselamatan.

Pada masa sama, beliau turut tidak menolak kemungkinan kumpulan tersebut dianggotai lebih daripada lima orang dan sedang dalam proses merekrut ahli lain.

“Semakan mendapati lima suspek ini memiliki pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah iaitu antara tujuh hingga 16 kes,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Dalam kejadian kira-kira jam 12.02 pagi itu, polis menembak mati lima penjenayah di Persiaran Harmoni, Putra Heights.

Kesemua suspek sebelum itu menaiki sebuah kereta Perodua Axia, dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah.

Kereta dinaiki mereka kemudiannya ditahan bagaimanapun kesemua suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah pihak polis sebelum ditembak mati dalam kejadian.

Baca ini > Polis tahan suami isteri disyaki bekal senjata api kepada lelaki Israel