Tuesday, July 9, 2024

Kes rampasan turun 87 peratus sejak penyasaran subsidi diesel

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata rampasan minyak diesel menurun sebanyak 87 peratus sejak pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api itu pada 10 Jun lalu.

Menurut Armizan, trend penurunan itu adalah berdasarkan perbandingan bagi tempoh 20 hari sebelum dan selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Beliau berkata, bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lepas, jumlah kes yang direkodkan ialah 65 kes dengan rampasan diesel sebanyak 520,803 liter, manakala bagi tempoh 10 Jun hingga 30 Jun lepas (20 hari selepas penyasaran subsidi dilaksanakan), statistik menunjukkan hanya 14 kes melibatkan jumlah rampasan minyak diesel sebanyak 68,457 liter.

Jumlah individu yang telah ditahan bersabit kes diesel juga berkurangan dalam tempoh yang sama iaitu daripada 40 orang kepada seorang sahaja.

Perbandingan ini menunjukkan berlakunya penurunan jumlah kes yang signifikan,” katanya dalam kenyataan.

Penyasaran subsidi diesel menyaksikan harga runcit bahan api itu meningkat sebanyak RM1.20 seliter kepada RM3.35 seliter di seluruh Semenanjung Malaysia.

Bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, harga runcit diesel dikekalkan pada RM2.15 seliter memandangkan bahan api itu digunakan secara meluas di sana.

Bagaimanapun, Armizan berkata, terdapat peningkatan bagi rampasan petrol RON95 iaitu 37 kes, melibatkan sebanyak 17,064 liter bagi tempoh 20 Mei hingga 9 Jun lepas, berbanding 46 kes dengan rampasan 14,011 liter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Beliau berkata, jumlah tangkapan pula meningkat daripada 10 kepada 17 orang bagi tempoh sama.

Bagi membanteras aktiviti tersebut, pihak kementeriannya akan terus meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti penyelewengan barang kawalan menerusi Ops Tiris 3.0 di seluruh negara.

Kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan lain juga diadakan bagi memastikan isu ketirisan dapat diatasi secara menyeluruh dan berkesan,” katanya.