Tuesday, July 9, 2024

Muhd Khair Razman dilantik Ketua Setiausaha baharu KKDW

Datuk Muhd Khair Razman bin Mohamed Annuar telah memulakan tugas hari pertama sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan mengadakan pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri dan Menteri KKDW Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi di Parlimen semalam.

Beliau kemudiannya tiba di Kementerian dengan disambut Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Mohd Kamal bin Husin, pegawai pengurusan kanan dan kakitangan KKDW.

Sebagai simbolik, Setiausaha Bahagian Kanan (Khidmat Pengurusan) Mohd Kamal bin Husin telah menyerahkan pas kerja kepada Muhd Khair yang melakukan sesi ketikan pertama pada perakam waktu (clock-in) di Lobi KKDW, Putrajaya.

Muhd Khair, 58 tahun telah menggantikan Datuk Seri Ramlan bin Datuk Harun yang bersara wajib pada 30 Mei 2024.

Muhd Khair, sebelum ini berkhidmat sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis berkelulusan Sarjana Undang-Undang (Undang-Undang Antarabangsa) dari Southampton University (UK).

Memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1994. Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah bertugas di Pejabat Daerah dan Tanah, Pulau Pinang, Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri / Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Perpaduan, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis.

Pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimiliki beliau akan dapat memperkasakan Kementerian dalam memacu perubahan dan kemajuan pembangunan masyarakat desa berteraskan Aspirasi Desa Madani.

Pada masa yang sama, Kementerian ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaaan kepada mantan Ketua Setiausaha di atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau dalam memimpin Kementerian sebelum ini. – REFLEKS!

Baca ini > KESUMA akan lapor SPRM susulan pendedahan PAC