Tuesday, July 9, 2024

QJMotor SRV250, SRK250 dan SRK250RR diperkenalkan di Malaysia

MForce Bike Holdings Sdn Bhd yang merupakan pengedar tunggal jenama QJMotor di Malaysia baru-baru ini mengumumkan bahawa ketiga-tiga model SRV250, SRK250 dan SRK250RR akan mula tersedia berada di pasaran Malaysia pada awal November tahun ini. Kesemua model ini boleh didapati di mana-mana pengedar sah QJMotor di seluruh Malaysia.

QJMotor SRV250 dan SRK250 akan dijual dengan harga permulaan dari RM16,888, manakala harga asas bagi SRK250RR adalah RM18,888. Kesemua harga ini tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ketiga-tiga model ini dikuasakan oleh enjin dua-silinder sebaris DOHC, 249cc dan 8 injap dengan kotak gear enam kelajuan.

Dengan harga yang mampu milik ini, kesemua model ini turut dilengkapi dengan sistem ABS untuk memberikan reaksi yang lebih tepat semasa membrek kecemasan terutamanya di permukaan yang licin atau basah.

Untuk model QJMotor SRV250, ianya memang berada di dalam kelasnya tersendiri sebagai motosikal Street Cruiser kerana ia memiliki enjin jenis dua silinder V-twin dan mampu menghasilkan janaan kuasa maksimum 27.5Hp pada 9,000rpm dan tork maksimum 23.0Nm pada 7,000rpm. Ini adalah motosikal yang sesuai bagi anda yang inginkan jentera yang berkuasa dan berprestasi tinggi.

SRV250 dilengkapi dengan suspensi teleskopik terbalik di bahagian hadapan yang menawarkan tetapan keseluruhan yang lebih padu, mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk mengendalikan tekanan yang melampau semasa menunggang.

Di bahagian belakang, SRV250 menggunakan penyerap dwi-kejutan, yang berupaya untuk menyerap hentakan dengan lebih baik serta memberikan lebih kestabilan semasa menunggang.

Lampu di hadapan dan belakang juga dilengkapi dengan cahaya LED yang terang, meningkatkan keselamatan para penunggang terutamanya ketika menunggang pada waktu malam atau semasa hujan lebat. Model ini didatangkan dengan dua warna pilihan iaitu Matte Black Matte dan Black Green.

Selain model Street Cruiser, Mforce turut memfokuskan kepada Naked Sport iaitu SRK250. Model ini cukup berkemampuan untuk melontarkan hantaran kuasa maksimum 31.5Hp pada 11,000rpm dan tork 21.2NM pada 9,000rpm. Selain itu juga, rangka motosikal ini diperbuat dari jenis trellis yang lebih ringan supaya para penunggang mudah untuk mengendalikan motosikal ini.

SRK250 menggunakan instrumen skrin paparan penuh LCD dengan resolusi yang tinggi. Ianya memudahkan para penunggang untuk membaca segala informasi yang diperlukan dengan sekilas pandang sahaja. Model ini mempunyai tiga warna pilihan untuk dimiliki iaitu merah, hitam dan biru.

Untuk kategori Racing Replica, SRK250RR memiliki setiap spesifikasi yang diperlukan. Selain dapat mencapai kuasa maksimum 25Hp pada 8.500rpm dan 24.1Nm pada 6,500rpm, model ini juga hadir dengan sistem Assist/Slipper Clutch untuk tunggangan yang lebih lancar dan selesa.

Dari hadapan, model ini memiliki reka bentuk yang tajam dan kemas dimana ia menonjolkan lagi ciri-ciri Racing pada motosikal ini. Selain itu juga, motosikal ini memiliki reka bentuk yang dinamik yang membantu dalam meningkatkan prestasi dari segi mengurangkan rintangan angin.

Bagi anda yang berminat, model ini disediakan dengan tiga warna untuk dipilih; merah, hitam atau jingga. Dengan setiap pembelian mana-model di atas, para pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.