PETALING JAYA, 9 Ogos – Skuad Harimau Malaya sedia menggalas cabaran untuk muncul sebagai 15 pasukan terbaik Asia suatu hari nanti.
Ketua jurulatih Kim Pan Gon, bagaimanapun, berkata misi itu tidak akan tercapai dalam masa singkat, melainkan seluruh pasukan bekerja keras dan bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu.
“Kita berdepan satu situasi sukar (untuk mencapai kedudukan 15 terbaik Asia) namun semua pihak perlu bersatu dalam sebarang keadaan, memberi sokongan dan saling memberi galakan untuk maju,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, semalam.
Sementara itu, Pan Gon berkata beliau akan mempersiapkan pasukan terbaik bagi menghadapi dua perlawanan persabahatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China, bulan depan.
Beliau berkata ini termasuk memanggil pemain sayap sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT) Arif Aiman Mohd Hanapi untuk beraksi dalam perlawanan menentang Syria pada 6 Sept dan China (9 Sept) itu.
“Kami akan cuba memilih pemain terbaik (untuk perlawanan persahabatan di Chengdu) sebagai persiapan menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 November ini, diikuti kempen Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan,” katanya.
Dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027, Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama Oman, Kyrgyzstan dan pemenang perlawanan antara Taiwan dan Timor Leste.