Tuesday, July 9, 2024

Benjamin Nagel dilantik sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia yang baharu

BMW Group AG telah melantik Benjamin Nagel selaku Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia yang baharu berkuat kuasa pada 1 Januari 2024. Pelantikan Nagel akan membuka satu lembaran baharu dalam sejarah kepimpinan syarikat ini, mengambil alih tugas Hans de Visser yang akan menjawat peranan baharu di luar organisasi BMW Group.

Berbekalkan pengalaman melebihi 20 tahun dalam BMW Group bagi jenama BMW dan MINI, Nagel bersedia untuk berkongsi kepakaran dan daya inovasi beliau yang luas menerusi tugas baharunya.

Selepas berkhidmat sebagai Ketua Urusan Niaga bagi BMW Group South Africa sejak 2020, yang didahului dengan peranannya di BMW AG Berlin sebagai Ketua Urusan Niaga pada 2018, Nagel telah mempamerkan kewibawaan dengan menerajui inisiatif-inisiatif rintis yang berjaya membawa pengeluar kenderaan premium ini ke aras yang lebih tinggi.

Mengulas tentang peralihan ini, Jean-Philippe Parain, Naib Presiden Kanan Niaga Rantau Asia Pasifik, Eropah Timur, Timur Tengah dan Afrika berkongsi, “Kami berasa amat teruja untuk mengalu-alukan Benjamin Nagel selaku pengemudi BMW Group Malaysia yang baharu. Pengalaman luas serta prestasi beliau yang terbukti dalam memacu kemajuan dan inovasi adalah berjajaran dengan visi kami untuk menunaikan janji ‘Sheer Driving Pleasure’ di Malaysia.”

Legasi Hans de Visser sebagai Pengarah Urusan juga dihiasi dengan pencapaian-pencapaian yang amat signifikan. Di bawah bimbingan beliau, BMW Group Malaysia berjaya memperkukuhkan kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan premium yang terkemuka selama tiga tahun berturut-turut, dan juga menjadi pembekal kenderaan elektrik Nombor Satu di dalam negara, merealisasikan kejayaan dalam bentuk pegangan pasaran dan juga kepuasan pelanggan.

Seluruh warga BMW Group Malaysia menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada de Visser atas sumbangan tidak ternilai beliau bagi kejayaan syarikat ini.

Sementara Nagel bersiap untuk menggalas tanggungjawab kepimpinan di Malaysia, BMW Group Malaysia kekal komited ke atas pertumbuhan dan kejayaan berterusan industri automotif negara. – REFLEKS!

Baca ini > BMW Malaysia memperkenalkan BMW X6 xDrive40i M Sport baharu