Thursday, May 2, 2024

MOSTI teroka potensi teknologi hidrogen dalam sektor mobiliti

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini sedang meneroka pontensi penggunaan teknologi hidrogen khususnya dalam sektor mobiliti.

Menterinya, Chang Lih Kang menerusi kenyataan pada Selasa, berkata kementerian akan mengadakan sesi perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan dalam usaha meningkatkan tahap penerimagunaan teknologi hidrogen, seterusnya mewujudkan kumpulan pengguna atau ‘end-user’ di Malaysia.

Menurutnya, sesi ini akan diadakan bagi berkongsi mengenai potensi teknologi hidrogen khususnya dalam sektor mobiliti, selari dengan komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya tahun 2050.

Menurutnya lagi, ianya sejajar dengan objektif yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).

Ujarnya, MOSTI dijangka akan membina sebuah Mobile Hydrogen Refuelling Station (MHRS) pada tahun ini melalui kerjasama dengan pihak swasta.

“Ianya membuktikan kebolehan dan kepakaran yang dimiliki oleh bakat tempatan dalam menerajui ekonomi hidrogen,” katanya.

Dalam pada itu, MOSTI telah mengadakan demonstrasi dan pandu uji kereta Toyota Mirai berkuasa hidrogen di ruang lobi Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Turut hadir Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. – REFLEKS!