Saturday, July 6, 2024

Farid Kamil “seperguruan” dengan Syamsul Yusof, gantung isteri tak bertali

INI bukan penyakit berjangkit tetapi antara Farid Kamil dan Syamsul Yusof, kedua-dua artis dan jatuh dalam kategori selebriti Malaysia ini Nampak gayanya menggunakan kitab yang sama.

Kitab apa? Kitab tak nak lepaskan isteri masing-masing sebaliknya memilih, kalau boleh, gantung tak bertali.

Benarlah dalam perkahwinan, pisau dan tali itu di tangan lelaki atau suami tetapi suami mesti berlaku adil kepada tuntutan isteri yang besar kemungkinan sudah tawar hati nak hidup sebumbung.

Apatah lagi nak berkongsi katil, bantal dan selimut disebabkan sang isteri kedua-dua aktor merangkap sutradara atau pengarah filem ini menuntut cerai daripada suami masing-masing.

Baik Puteri Sarah mahupun Diana Danielle, kedua-dua wanita ini sudah tidak dapat menahan sabar untuk meneruskan ikatan suami-isteri.

Memanglah dalam hukum agama, bergegar tiang aras apabila seorang isteri itu meminta cerai daripada suaminya.

Akan tetapi jika jiwa para isteri terseksa dan tidak mampu lagi mempertahankan masjid yang dibina bukan setahun dua itu maka hati wanita ini akan meronta-ronta minta dilepaskan.

Sabar memang mudah diutarakan tetapi kalau kena pada batang hidung sendiri, siapa makan cili dialah yang terasa pedas.

Sebagai orang luar, kita hanya mampu memandang dan tidak berada di dalam lingkungan gerbang rumah tangga Farid mahupun Syamsul.

Menantikan payung emas di akhirat, Puteri Sarah enggan hidup bermadu kerana madu itu amat manis bagi golongan Adam.

Bukan mahu menuntun oleh hawa nafsu tetapi apabila majlis syura juga tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyakinkan kedua belah pihak iaitu perempuan dan lelaki agar tidak bercerai, pengakhirannya adalah cerai.

Itu sememangnya jalan yang terakhir dan bukan pasangan ini sahaja yang melaluinya malahan banyak lagi pasangan artis atau selebriti yang berkahwin sesame artis, berakhir dengan perceraian.

Hidup tidak perlu diseksa apabila hati sudah tidak bahagia dan tidak perlulah Farid Kamil menunding jari, menyuruh media bertanya kepada Diana, apakah masalah Diana kerana bagi Farid, dia masih sayangkan isteri dan anak-anak.

Kadang-kadang orang lelaki ni pelik dalam menunjukkan rasa sayang mereka kepada isteri dan anak-anak.

Secara normal, tiada masalah rumah tangga, mudah sahaja bagi seseorang suami itu menunjukkan rasa kasih dan sayang dengan berada di samping isteri dan anak-anak, bukan isteri lain, bukan benda yang tidak sepatutnya disuntik ke dalam badan. Benda asing!

Hanya Puteri Sarah dan Diana Danielle sahaja yang melalui apa yang mereka lalui dalam kehidupan rumah tangga dengan lelaki pilihan mereka.

Benarlah kata pepatah Melayu, harapkan panas sepanjang hari, rupanya hujan di tengah hari!

Jadilah lelaki yang budiman. Syamsul lepaskanlah Puteri Sarah secara baik kerana Ira Kazar ada menemani kamu.

Farid Kamil pula, tanya diri sendiri, apa masalah kamu. Bukan tanya Diana Daniella, apa masalah dia. – REFLEKS