Friday, May 17, 2024

VOM: ‘Raja’ single lahirkan Biarku Pergi

INDUSTRI hiburan, khusus kepada bidang nyanyian di Malaysia sejak lebih lima tahun ke belakangan ini, amat mudah diceburi. Kalau nak diikutkan, sedekad kebelakangan ini, sesiapa sahaja boleh jadi penyanyi jika dibandingkan dengan era sebelum ini.

Kalau mahu jadi penyanyi, perlu buat demo tape. Siap, hantar kepada A&R di syarikat-syarikat rakaman yang ada waktu itu antaranya sebesar-besar syarikat rakaman bertaraf antarabangsa seperti Sony Music, BMG, Warner Music dan EMI ataupun syarikat rakaman tempatan seperti FMC, SRC, Life Records, Rock Record (disebut beberapa nama sahaja).

Dari situ (A&R syarikat-syarikat rakaman) akan menilai demo tape dan mendengar suara yang menghantar demo tape sama ada layak menjadi penyanyi atau cuba lagi!

Tetapi zaman itu sudah berlalu, segala-galanya sudah berubah dan perubahan itu membuatkan agak sukar hari ini untuk mencari lagu malar segar!

Bakat memang ada bakat tetapi sebagai penyanyi yang mempunyai lagu malar segar, industri seni suara Malaysia dalam senario tercari-cari, teraba-raba.

Ada sahaja pertandingan realiti televisyen yang diadakan tetapi ia umpama lambakan penyanyi seperti anak-anak ayam kehilangan ibu. 

Sekarang muncul artis berkumpulan baharu yang bersandarkan kepada populariti media sosial kerana pernah jadi tular dengan lagu berjudul Masak Apa Tak Jadi Hari ini.

Kumpulan ini menggelar diri mereka sebagai Voice of Men (VOM) dan sekitar tahun lepas, melahirkan single terbaharu mereka berjudul Biarku Pergi iaitu single ketujuh mereka.

Single ini menurut kenyataan akhbar mereka, tersedia untuk muat turun digital, penstriman, di YouTube, Spotify, iTunes dan di seluruh platform penstriman yang telahpun bermula penghujung tahun lepas.

VOM dikatakan banyak melakar hasil karya mereka di peringkat antarabangsa dengan menerbitkan suara latar dalam lagu Akapela untuk siri kartun “Zaky and Friends” di Sydney dan siri kartun tersebut berjaya meraih lebih 50 juta jumlah tontonan.

VOM sebagai ‘raja’ single di Malaysia, sebelum ini melahirkan single berjudul “Saranghaeyo”, telah mendapat tempat dalam drama hit TV3 dan TV1, “Nasi Kerabu Untuk Che Abe” dan “Nurlaila”.

Biarku Pergi ciptaan Azlan Abu Hassan, genre pop balada dan VO dianggotai oleh Fath, Lutfi, Nasrul dan Akem. – REFLEKS

Muzik video Biarku Pergi: https://www.youtube.com/watch?v=FiuhsTx4Dc0