Friday, May 17, 2024

Kes bekas kakitangan Utusan di mahkamah: sinar untuk semua?

SESIAPA yang pernah bekerja dan berkhidmat dengan Kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd sahaja yang akan faham perasaan yang dirasai apabila syrikat persuratkhabaran Melayu itu gulung tikar pada bulan Oktober 2019.

Atas sikap pengurusan tertinggi yang tidak ikhlas terhadap pekerja bawahan, pandai bermain kata-kata dan mementingkan kedudukan dengan mencari EXIT PLAN sendiri, kakitangan bawahan yang bekerja umpama lembu cucuk hidung sehingga ke saat syarikat itu gulung tikar, melangkah keluar dengan terpinga-pinga.

Hari ini, selepas lima tahun Kumpulan Utusan gulung tikar, lebih 815 kakitangan yang diarahkan keluar kerana syarikat tidak meneruskan operasi, ada lagi yang terkebil-kebil dan tidak tentu arah kehidupan.

Yang usia agak muda ketika Kumpulan Utusan itu ditutup, yang hebat kipas bos-bos lama, dapat bekerja dalam bidang masing-masing di bawah nama syarikat lain yang mengeluarkan surat khabar utusan dan kosmo.

Yang bukan kegemaran bos-bos, yang bukan kaki bodek, yang tidak pandai kipas, yang usia lebih 50 tahun, pandai-pandailah nak meneruskan kehidupan sehingga ke hari ini.

Gunalah duit simpanan yang ada, KWSP yang ada dan buatlah apa sahaja kerja yang mampu dan boleh dengan faktor usia yang sudah meningkat lanjut. 

Jangan nak kata yang kelompok 815 kakitangan, lebih kurang, yang kena buang tanpa pampasan itu tidak berusaha untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Kerja dan terus bekerja dan ada yang memijak kepala dan diperbodoh-bodohkan dek kerana sabar dan mahu meneruskan bidang yang dipelopori dalam dunia media.

Ada yang menggunakan khidmat peguam untuk menuntut bayaran daripada pihak yang mengambil alih selepas utusan tutup.

Jangan terkeliru, ada beberapa kumpulan yang menuntut di mahkamah iaitu yang mengambil VSS tetapi tidak mendapat bayaran sepenuhnya, ada kumpulan yang bukan eksekutif yang membuat tuntutan sehingga ke mahkamah dan ada yang tidak sempat menuntut apa-apa kerana dipanggil mengadap Ilahi.

Kumpulan bukan eksekutif yang membuat tuntutan sehingga ke mahkamah dikepalai oleh wakil pekerja bernama Saifol Bakhtiar Hamik.

Baru-baru ini,  Mahkamah Persekutuan meluluskan pemohonan untuk meneruskan perbicaraan kes rayuan mereka ke mahkamah tersebut.

Antara isu yang akan diputuskan di Mahkamah Persektuan nanti adalah sama ada rujukan yang dibuat oleh Menteri Sumber Manusia di bawah seksyen 20(3) Akta Perusahaan 1947 tertakluk kepada kebenaran dibawah seksyen 451(2) Akta Syarikat 2016.

Kesimpulannya, tunggu lagi apa yang akan diputuskan oleh mahkamah tetapi ingat, bukan semua yang dianiayai dapat ganjarannya. – REFLEKS