Tuesday, July 9, 2024

1,500 sertai Fun Run KMP2024

Seramai 1,500 orang peserta terdiri daripada masyarakat setempat dan pelancong telah menyertai acara Fun Run sempena Karnival Maritim Perkasa 2024 (KMP2024) di Dataran Jambatan Angkat (Drawbridge) Kuala Terengganu di sini hari ini.

Pengarah Komunikasi Korporat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Faridah Shuib berkata, selain mempromosikan gaya hidup sihat, acara ini dapat mengeratkan hubungan sillaturrahim antara masyarakat dengan pihak Maritim Malaysia.

Jelas beliau lagi, program yang diadakan juga secara tidak langsung dapat memberikan peluang kepada para peserta menikmati keindahan panorama Drawbridge Kuala Terengganu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelepasan Fun Run Karnival Maritim Perkasa 2024.

Majlis pelepasan Fun Run berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Koperasi Maritim Berhad, Laksamana Madya Maritim (Bersara) Datuk Haji Ibrahim bin Haji Mohamed.

Disertai oleh pelari terdiri daripada pelbagai peringkat umur se-awal lima hingga 72 tahun, acara Fun Run ini telah bermula se-awal jam 7.00 pagi dengan pendaftaran peserta dan diikuti senamrobik.

Para peserta kemudiannya merentasi trek larian sejauh lima kilometer mengelilingi kawasan Drawbridge Kuala Terengganu.

Turut disediakan sebanyak 20 cabutan bertuah buat peserta yang menyertai acara larian ini dan pemenang telah menerima hadiah hamper bernilai RM50 setiap seorang. Manakala pemenang hadiah utama telah membawa pulang sebuah perkakasan dapur elektronik berupa Air Fryer yang telah dimenangi oleh seorang peserta wanita.

Diharapkan aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana impak positif yang dihasilkan adalah besar dalam jangka masa panjang. – REFLEKS!

Baca ini > Persembahan demonstrasi ‘pukau’ pengunjung Karnival Maritim Perkasa