Tuesday, July 9, 2024

Cuai jaga anak, tak layak jadi mak bapa!

BERDERAU darah tatkala melihat sebuah video berdurasi 10 saat yang menunjukkan  dua orang kanak-kanak duduk bermain di tepi balkoni sebuah kondominium di Jalan Langkawi, Taman Setapak, Kuala Lumpur.

Mujur tak ada penyakit lemah jantung kerana kalaulah kanak-kanak ini terjatuh dari balkoni itu, tidak dapat nak bayangkan ia sebagai satu tragedi yang menyayat hati.

Rakam video pendek itu dimuatnaik oleh pemilik Facebook Reff Lia pada pukul 4 petang semalam.

Ibu bapa kepada kedua-dua kanak-kanak ini, apapun alasan yang diberikan kepada pihak polis yang memanggil mereka untuk membantu siasatan pada petang semalam, jadilah ibu bapa yang berakal.

Cerdiklah sedikit, tak kan biarkan anak-anak bermain di tepi balkoni rumah kayangan? Tinggi tu unit kondominium yang dihuni.

Tak kan tak pernah dengar pepatah Melayu berbunyi, “Malang tidak berbau.” Tak sayang anakkah wahai kedua ibu bapa kepada dua kanak-kanak ini?

Pasangan suami isteri yang lama mendirikan rumah tangga tetapi masih belum dikurniakan zuriat, tidak akan membiarkan anak anugerah dari Tuhan, melakukan perkara yang membahayakan nyawa mereka.

Kecuaian kedua ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Tunggu Pegawai Penyiasat (IO) lengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

Janganlah cuai dalam menjaga anak-anak. Anak-anak kecil ini lebih laju gerakan mereka berbanding dengan kita orang dewasa.

Oleh itu, kita perlu sentiasa peka melihat pergerakan mereka kerana kalau ibu bapa tidak perasan anak-anak sudah berada di tepi balkoni sedangkan mereka ada di dalam rumah atau tidak menyedari apa yang berlaku, adakah pasangan ini layak menjadi ibu dan bapa? – REFLEKS