Sunday, May 19, 2024

Pendapatan Gamuda melonjak kepada RM3.4 bilion

PENDAPATAN Gamuda Bhd pada suku dua melonjak 53 peratus kepada RM3.4 bilion berbanding RM2.2 bilion yang dicatatkan semasa tahun lepas, manakala keuntungan bersih suku tahunan meningkat 7.0 peratus kepada RM209 juta.

Pendapatannya untuk setengah tahun naik hampir dua kali ganda kepada RM6.2 bilion daripada RM3.7 bilion pada tahun sebelum ini, manakala keuntungan bersihnya menokok 19 peratus kepada RM404 juta.

Syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur serantau itu mengaitkan prestasinya yang lebih mantap kepada hasil luar negara dan keuntungan bersihnya bertambah baik disebabkan oleh peningkatan dalam projek luar negara terutamanya di Australia.

“Tempahan dalam tangan pembinaan kami berjumlah RM24 bilion dan jualan hartanah tidak dibilkan adalah sebanyak RM6.7 bilion,” kata Gamuda dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Pendapatan Gamuda Bhd pada suku kedua naik 53 peratus kepada RM3.4 bilion berbanding RM2.2 bilion tahun lepas, manakala keuntungan bersih suku tahunannya adalah lebih baik sebanyak  7.0 peratus kepada RM209 juta.

Gamuda ketika mengulas mengenai nisbah penggearan bersihnya menjelaskan ia mempunyai kunci kira-kira yang sihat dengan penggearan bersih yang selesa iaitu sebanyak 29 peratus, jauh di bawah had penggearan yang dikenakan sendiri iaitu pada 70 peratus.

Perolehan cabang kejuruteraan luar negara kumpulan itu meningkat empat kali ganda kepada RM4 bilion daripada RM1 bilion sebelum ini, manakala keuntungan bersih bertambah empat kali ganda kepada RM138 juta berbanding RM33 juta yang disaksikan pada tahun lalu.

Pendapatan keseluruhan bahagian hartanahnya serta keuntungan bersih, masing-masing naik 29 peratus dan 46 peratus, didorong oleh projek luar negara serta domestik yang lebih kukuh. – BERNAMA

Baca ini > Khazanah catat untung operasi lebih baik RM5.9 bilion