Tuesday, July 9, 2024

Pengeluar keju tempatan jenama Marsche Formage tembusi pasaran Tembok Besar China

BUKAN hanya pengeluar keju tempatan jenama Marsche Formage bakal menerobos pasaran di China tetapi juga syarkat pengeluar makanan (Food and Beverages atau F&B) tempatan juga akan memasarkan ketupat palas lemak sebagai salah satu daripada lima jenis makanan yang menembusi pasaran negara republik itu pada Ogos ini nanti.

Hari ini, dua syarikat tersebut iaitu Juta Global Marketing Sdn Bhd dan Una Manufacturing and Resources Sdn Bhd terpilih oleh Dewan Perniagaan, Perindustrian dan Pelaburan Malaysia (DPPPM) untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Wuxi Federation Industry of Commerce, China.

Produk daripada kedua-dua syarikat tersebut akan menyertai My Warehouse @ Wuxi, China pada Ogos nanti yang mana produk-produk berkenaan akan dipamerkan di Pavillion Malaysia di Wuxi.

Menurut Ahli Jawatankuasa DPPPM-Wuxi, Dato’ Sri Sharizal Sarip, di Pavillion Malaysia, Wuxi, nanti, ramai ejen akan berada di pavillion untuk memilih memasarkan produk daripada syarikat pengeluar produk dari Malaysia.

“Pihak DPPPM menerima lebih daripada 500 syarikat yang mengeluarkan produk untuk menyertai My Warehouse @Wuxi, China dan selepas disaring, ada lebih 200 syarikat tetapi kita memilih dua syrikat sahaja iaitu Una dan Juta,” katanya pada sidang akhbar usai majlis MoU.

Menurut beliau, Wuxi adalah pintu masuk bagi produk-produk yang akan dipasarkan di China dan ramai ejen pemasaran akan berada di Pavillion Malaysia di Wuxi.

Sementera itu, Penasihat Una, Mohd Dzamri Abullah memberi pencerahan, mereka akan membawa lima produk ke Wuxi.

“Produk pertama ialah yang berasaskan kari dan kari pula terbahagi kepada dua iaitu kari mamak dan kari Melayu.

“Produk kedua, bakso, ketiga produk Eropah iaitu spaghetti, keempat produk berasakan tradisional iaitu ketupat dan rendang,” katanya sambil menambah, ayam masak merah dan ayam masak hitam juga akan dibawa.

Tambah Mohd Dzamri lagi, bagi ayam masak merah dan ayam masak hitam, berkonsepkan kombo dan single yang mana disertakan sekali dengan nasi putih dan nasi briyani.

Produk bakso atau meat ball halal yang dibawa nanti, kata Mohd Dzamri, mereka bekerjasama dengan syarikat daripada Indonesia memandangkan bakso makanan berasal dari negara seberang.

Tambah beliau, dibawah jenama Tok Su, terdapat 10 jenis ketupat termasuk ketupat palas utara dan ketupat palas pantai timur.

“Ketupat palas yang kita bawa ialah yang tawar atau lemak dan ia sesuai untuk makan dengan rendang ataupun serunding,” ujar beliau.

Bagi Pengurus Hal Ehwal Korporat, Juta, Ahmad Zaren Abd Rahman, produk keju yang dihasilkan oleh syarikat Juta merupakan produk keju pertama di dalam negara.

“Syarikat berkemampuan mengeluarkan tujuh tan sebulan keju atau 15 kontena dalam tempoh sebulan.

“Maksima pengeluaran keju ialah 50 kontena sebulan dan semua produk keju dibawah jenama Marsche Formage,” katanya. – REFLEKS