Tuesday, July 9, 2024

SKDS 2.0 tawar 1 juta fleet card kepada 23 jenis kenderaan pengangkutan

HARI Terbuka Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) disertai oleh lapan persatuan yang mewakili industri pengangkutan barangan dan 400 syarikat yang layak di bawah program SKDS 2.0.

Sebagai Kementerian yang bertanggungjawab mengawal selia pelaksanaan SKDS, KPDN telah menggerakkan kerjasama dengan lima syarikat minyak yang terlibat untuk memastikan kesiapsiagaan dalam perancangan agenda penyasaran semula subsidi diesel. 

Antara langkah yang telah dilaksanakan adalah ketersediaan syarikat-syarikat minyak dengan bekalan stok 1 juta fleet card. 

Jumlah ini disasarkan untuk memenuhi permintaan 23 jenis kenderaan yang layak melalui SKDS 2.0 yang dianggarkan berjumlah 410,000.

Permohonan bagi mendapatkan surat kelulusan SKDS 2.0 secara atas talian boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ 

Pautan di atas adalah bagi kesemua 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan yang layak dan kaedah tersebut melibatkan proses yang mudah dan cepat. 

Ini termasuk mekanisme semakan waktu nyata dengan sistem MySIKAP Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, semakan nombor pendaftaran syarikat dengan sistem Suruhanjaya Syarikat Malaysia tanpa memerlukan pemohon memuat naik dokumen sokongan tambahan.

Syarikat-syarikat yang layak memohon di bawah SKDS 2.0 boleh segera memohon bagi mendapatkan surat kelulusan SKDS 2.0 dan sekali gus memohon fleet card daripada syarikat-syarikat minyak. – REFLEKS