Sunday, May 19, 2024

2 maut, 13 cedera bas persiaran terbalik di Lebuhraya KL- Karak

SEORANG lelaki warga asing serta seorang wanita dilaporkan maut selepas bas persiaran yang dinaiki terbalik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, bas terbabit membawa 20 penumpang termasuk pemandu itu dalam perjalanan dari Terminal Bas Selatan ke Kuantan.

Beliau berkata, seorang lelaki warga asing dan seorang wanita dengan bangsa tidak pasti telah disahkan maut di lokasi kejadian.

“Pemandu bas bersama seorang wanita tempatan telah mengalami cedera parah manakala 11 lagi penumpang mengalami cedera ringan.

“Sementara lima lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Jelas Zaiham, tiada mangsa yang tertindih di bawah bas seperti yang ditularkan di dalam rakaman video orang awam. – REFELKS!