Tuesday, July 9, 2024

3 cedera papan tanda iklan digital di Lebuh Raya Persekutuan terbakar

SEBUAH papan tanda iklan digital yang terletak di tepi Lebuh Raya Persekutuan, selepas susur keluar Jalan Gasing, di sini, dilaporkan terbakar kira-kira pukul 1.25 tengah hari tadi.

Kejadian tersebut dirakamkan oleh beberapa pengguna media sosial yang memaparkan papan elektronik itu sedang berasap.

Tiga cedera manakala enam lagi dilaporkan selamat dalam satu kejadian kebakaran papan tanda iklan digital yang terletak di tepi Lebuh Raya Persekutuan, selepas susur keluar Jalan Gasing, di sini, tengah hari tadi.

Kesemua mangsa merupakan warga Indonesia yang terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan di bahagian atas dan bawah papan iklan tersebut.

Berdasarkan makluman awal anggota bomba di lokasi kejadian, ketiga-tiga mangsa mengalami cedera ringan akibat kebakaran tersebut telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Setelah kebakaran di bahagian atas papan iklan berjaya dikawal, pihak bomba kemudiannya memadamkan api pada punca kuasa yang terletak di bawah pada pukul 2.50 petang.

Kemudian, kebakaran berjaya dikawal kira-kira pukul 3.30 petang sebelum kerja-kerja pembersihan dan pembukaan lorong dilakukan.

Kebakaran yang dianggarkan bermula kira-kira pukul 1.25 tengah hari tadi telah menyebabkan kesesakan teruk dari Pusat Bandaraya ke arah Petaling Jaya ekoran dua lorong terhalang bagi memberi laluan kepada jentera bomba melakukan kerja-kerja pemadaman api.

Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan namun Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat. – Kosmo!