Sunday, May 19, 2024

CAAM sahkan pesawat BK 160 Gabriel terhempas di Kapar

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan, sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel terhempas dekat Kapar, Klang, Selangor hari ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud.

Pesawat bernombor pendaftaran I-POOC itu dikendalikan oleh Air Adventure Flying Club yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shahd, Subang pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi, katanya dalam kenyataan media.

“Perhubungan terakhir dibuat pesawat ini dengan kawalan trafik udara ialah pada 1.35 petang namun tiada panggilan kecemasan diterima.

“Pusat Penyelarasan Penyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) telah diaktifkan serta-merta untuk menentukan lokasi pesawat itu.

“Sebanyak dua orang termasuk seorang juruterbang menaikinya dan keadaan mereka belum dapat dipastikan,” katanya.

Siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Nahas Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan Penerbangan Awam 2016, ujar Norazman.

Baca ini > Bekas Presiden Chile maut dalam nahas helikopter