Tuesday, July 9, 2024

DOF Rekod Pendaratan Penyu Meningkat Sebanyak 11.17 Peratus Pada 2023

KUALA LUMPUR: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) merekodkan jumlah pendaratan penyu di perairan negara ini meningkat sebanyak 11.17 peratus pada tahun lepas.

Ketua Pengarahnya Datuk Adnan Hussain berkata sebanyak 30,375 pendaratan penyu dicatatkan di perairan Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada 2023 berbanding tahun sebelumnya sebanyak 27,324.

Beliau berkata bentuk muka bumi dan kekurangan ancaman di perairan negara menjadi faktor menyumbang kepada peningkatan berkenaan, selain pelaksanaan program penetasan telur penyu.

“Berdasarkan rekod terkini dari 2017 hingga 2023, secara keseluruhannya trend pendaratan penyu di Malaysia adalah meningkat. Anggaran purata adalah sebanyak 30,000 pendaratan setahun.

“Antara spesies penyu yang banyak dijumpai di perairan kita ialah penyu agar, penyu karah dan penyu lipas. Pihak kami menyasarkan jumlah itu akan terus meningkat pada tahun ini,” katanya kepada Bernama selepas Program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio di sini pada Isnin.

Adnan berkata pendaratan penyu belimbing, kali terakhir direkodkan DOF pada 2017 di Rantau Abang, Terengganu.

“Puncanya mungkin bilangan populasi penyu belimbing semakin berkurangan dan program kita buat sebelum ini tidak dapat menentukan jantina populasi antara jantan atau betina tidak begitu baik yang menyebabkan penyu itu tidak dapat membiak di lautan,” katanya.

Justeru beliau menyeru semua masyarakat terus bekerjasama dalam memelihara alam sekitar supaya ekosistem pendaratan penyu terus menunjukkan angka positif, selain haiwan itu tidak mendarat di pantai lain untuk membiakkan telur mereka.

“Masyarakat diharap tidak membuang plastik merata-rata sebab kalau ia (plastik) terlepas di lautan akan menjadi ancaman nyata kepada penyu yang menganggap bahawa itu adalah makanannya iaitu ubur-ubur.

“Saya juga memohon kerjasama semua pihak untuk menghentikan amalan memakan telur penyu kerana itu tidak baik untuk ekosistem negara serta dari segi usaha pembiakan penyu itu sendiri,” katanya.

— BERNAMA