Tuesday, July 9, 2024

Empat atlet kebangsaan ke Olimpik Paris terima geran bantuan RM300,000 dari KBS

EMPAT atlet profesional kebangsaan yang akan membuat penampilan di temasya Sukan Olimpik Paris telah menerima geran bantuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam hantaran di Facebook memberitahu, geran bantuan keseluruhan berjumlah RM300,000 itu disalurkan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurut beliau, empat atlet profesional yang menerima peruntukan berkenaan adalah pemain golf, Gavin Green dan Ashley Lau serta dua lagi merupakan jaguh badminton, Lee Zii Jia serta Goh Jin Wei.

Hannah berkata, penyaluran geran bantuan itu adalah sebagai persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024.

Pada masa sama, katanya, geran bantuan itu merupakan inisiatif KBS membantu meringankan beban atlet profesional negara bagi menyertai beberapa kejohanan kelayakan, kejohanan pendedahan, kem latihan, rakan pelatih dan perkhidmatan sokongan demi memastikan persiapan serta latihan dalam keadaan optimum.

“Ini adalah komitmen kami untuk membantu setiap atlet yang membawa bendera Malaysia bahawa mereka bukan sahaja akan menerima perkhidmatan daripada pasukan Institut Sukan Negara (ISN) tetapi juga bantuan kewangan daripada kerajaan.

“Kami mahu para atlet tahu mereka pergi dengan sokongan penuh kerajaan dan seluruh negara,” katanya dalam hantaran tersebut.

Dalam pada itu, Hannah turut berharap bantuan tambahan itu sedikit sebanyak mampu membantu atlet-atlet tersebut memberi tumpuan kepada persiapan masing-masing.

“KBS berharap suntikan dana ini memberi keempat-empat atlet ini persembahan terbaik apabila turun mengejar kejayaan di kota Paris nanti,” katanya.

Acara badminton akan berlangsung di Porte de La Chapelle Arena bermula 27 Julai hingga 5 Ogos, manakala golf diadakan di Le Golf National dari 1 hingga 10 Ogos.

Seramai 26 atlet bakal mewakili Malaysia di Olimpik Paris bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Baca ini > Azeem dapat wildcard ke Olimpik Paris