Tuesday, July 9, 2024

India arah siasatan selepas insiden mencemaskan di landasan lapangan terbang Mumbai

PENGAWAL selia penerbangan India telah mengarahkan satu siasatan selepas insiden mencemaskan di landasan yang menyaksikan pendaratan dan pelepasan pesawat berlaku dalam sela beberapa saat.

Sebuah video yang didakwa merupakan rakaman insiden itu dan dikongsi secara meluas di media sosial menunjukkan pesawat IndiGo mendarat di lapangan terbang Mumbai, salah satu yang tersibuk di negara ini, manakala sebuah pesawat Air India berlepas dari landasan yang sama pada Sabtu.

Direktorat Penerbangan Awam (DGCA) telah menggantung tugas pengawal trafik udara yang bertugas pada waktu itu dan melancarkan siasatan terhadap insiden berkenaan, menurut kenyataan yang dipetik daripada laporan media India pada Ahad.

IndiGo dan Air India turut memberikan respons terhadap insiden itu dalam media.

“AI657 dari Mumbai ke Trivandrum sedang dalam fasa berlepas pada 8 Jun. Pesawat Air India telah dibenarkan oleh Kawalan Trafik Udara untuk memasuki landasan dan seterusnya dibenarkan untuk berlepas. Pesawat Air India meneruskan prosedur yang ditetapkan,” kata Air India.

IndiGo pula berkata, penerbangan 6E 6053 dari Indore mendarat mengikut kebenaran kawalan trafik udara.

“Juruterbang yang bertugas meneruskan pendekatan dan pendaratan serta mengikut arahan ATC,” kata IndiGo.

Landasan Lapangan Terbang Mumbai mengendalikan 46 ketibaan dan perlepasan setiap jam, menurut laporan agensi berita PTI. – BERNAMA