Tuesday, July 9, 2024

Isu Pekerja Malaysia – Indonesia Akan Dibincang Pada Mei

PUTRAJAYA: Malaysia akan berbincang dengan agensi Indonesia berhubung memorandum persefahaman (MoU) lapuk membabitkan pekerja sektor formal dari negara itu, Mei ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata perbincangan itu akan dilaksanakan melalui Jawatankuasa Kerja Bersama di antara Malaysia dan Indonesia, yang bakal diadakan bulan depan.

“Kita mempunyai proses perbincangan MoU itu berikutan ia membabitkan bidang kuasa dua buah negara tetangga yang mempunyai hubungan baik.

“Kita akan bincang dalam jawatankuasa kerja itu. Malaysia menjadi tuan rumah kali ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pocket Talks dan prapelancaran Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024, di sini.

Pada masa sama, Steven berkata, selain MoU, jawatankuasa itu akan turut membangkitkan berhubung segala aspek yang perlu disemak bersama demi kebaikan dua negara.

“Ini kerana jawatankuasa itu platform rasmi untuk kita melalui sebarang proses perbincangan,” katanya.

Sebelum ini, BH melaporkan Indonesia menuntut supaya MoU membabitkan sektor formal pekerja dari negara itu ke Malaysia, terutama perladangan dan pembinaan dikaji semula selepas 20 tahun tidak disemak.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono, dilaporkan berkata antara perkara yang perlu dibangkitkan ialah keperluan pihak kedutaan memantau proses pengambilan pekerja ke Malaysia serta isu gaji yang perlu disesuaikan dengan dasar gaji minimum negara ini.

Indonesia dan Malaysia mempunyai dua MoU berkaitan migran membabitkan semua sektor yang ditandatangani pada 2004, kecuali pekhidmat domestik Indonesia (PDI).

MoU membabitkan PDI atau amah secara khusus pula dimeterai kedua-dua negara pada 1 April 2022.

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menugaskan Steven supaya berhubung dengan rakan sejawatnya di Indonesia susulan permintaan negara jiran terbabit untuk menyemak semula MoU membabitkan sektor pekerjaan.

Kredit: Suzalina Halid | Berita Harian